Tuesday, March 30, 2010

Pengalaman Pukul Orang

Hari terakhir di kolej matrikulasi. Budak-budak rumah aku semua dah balik. Tinggal aku seorang tengah lepak, kemas barang. Tak payah nak 'rush-rush'. Rumah aku dekat je. Jalan kaki seploh minit dah sampai.

Tengah-tengah layan blues kemas barang, datang Kumbing, member aku dari asrama lain. Dengan muka cemas campur 'excited' mengajak aku ke asrama MLVK. Kolej matrikulasi aku waktu itu adalah kolej swasta. Jadi kami bercampur dengan budak-budak yang mengikuti kursus MLVK. Sekolah tadika pun ada dalam kolej aku.

Asrama aku hanya berhadapan dengan asrama MLVK. Jalan kaki tak sempat nak nyala-kan sebatang rokok pun. Setiba-nya aku di asrama MLVK, kedengaran bunyi suara riuh-rendah. Ape jadah pulak nih? Ada pesta buih ke? Fikir aku sendirian.

Rupa-rupanya aku silap. Aku kira ada hampir 20 orang member-member matrik yang belum pulang sedang berkumpul. Mengelilingi seorang mamat MLVK. Ada jugak terdengar bunyi sedas dua tumbukan dan sepak terajang. Riki punya riki aku pun tahu-lah cerita sebenar. Mamat ni kantoi mencurik rupa-nya.

Penuh barang-barang curian dalam loker. Kira yang belasah mamat tu tuan punya barang yang kena curik tu la. Pakat-pakat lepas geram. Mentang-mentang la 'last day', semua dah tak peduli. Bukan nak kena gantung, buang kolej ke ape. Belasah la cukup-cukup.

Aku?

Aku tak suka pukul-pukul orang ni. Tak baik. Kesian beliau. Dah la sorang-sorang je. Member-member asrama beliau semua dok tepi, tengok je. Takleh buat apa. Aku nampak dua tiga titik air mata dah menetes dari kelopak mata mamat tu. Kesian sungguh. Tapi padan muka jugak la. Siapa suruh gatal tangan mencurik? Kantoi pulak tu.

Tapi emosi kesianan aku tiba-tiba hilang tatkala aku ternampak walkman, poster nirvana dan koleksi kaset-kaset aku dalam loker beliau. Zaman tu mana ada ipod dengan mp3 lagi. Semua layan walkman je. Semua pakat kumpul kaset.

Aku memang sayang gila kat kaset-kaset dengan poster nirvana tu. Aku memang ingat aku carik bagai nak mati poster tu. Rupa-nya lahanat ni yang ambik. Memang bedebah betul la. Aku dah tak sedar apa waktu tu. Sedar-sedar je penumbuk aku hinggap kat pipi mamat tu. Hati tengah panas, ramai pulak yang membakar kat belakang. Apa lagi, aku bagi pulak tendangan ala capoeira kat mamat tu. Tepat kena dada. Muntah darah mamat tu. Siap keluar tulang ikan.

Ok. Aku tipu. Tak keluar darah pun. Tulang ikan pun tak keluar. Saja nak bagi nampak efek tendangan tu macam padu la. Ala-ala Baja Hitam gitu.

Memang teruk jugak la mamat tu kena tibai. Aku buat 'calculation', kalau purata seorang bagi 2 das, kalo 20 orang dah 40 das mamat tu kena. Tapi nasib baik la kitorang masih boleh berfikir dengan waras lagi. Tempat-tempat sensitif yang boleh mendatangkan kecederaan serius seperti jantung, paru-paru, buah pinggang, rusuk, testikel, halkum dan ketiak kitorang tak sentuh. Kang koma, mati ke apa, jadik kes polis naya je. Tak dapat pulak karang nak menjejakkan kaki ke menara gading. Bagi sekadar secukup rasa je. Kasik ajar sikit. Tapi kira nasib baik la kitorang tak report kat polis atau 'management' kolej. Kalau tak, gelap la masa depan mamat tu.

Camni la gaya tendangan capoeira tanpa bayang aku bagi kat mamat tu.


Dua hari selepas hari kejadian. Aku kat rumah. Baru lepas mandi nak bersiap keluar pekan. Carik baju 'favorite' aku, tapi tak jumpa. Merata aku carik baju cap Levi's yang ku beli kat 'bundle', tapi tak jumpa. Memang sah, mamat hari tu yang tibai. Tapi barangkali kami tak perasan masa dok sibuk belasah dia. Aku 'roger' dua orang budak kampung aku. Ajak masuk kolej, carik mamat MLVK tu.

Dengan gaya ala-yakuza kami bertiga berdiri depan pagar kolej. Hati tengah mendidih, kepala tengah berasap. Dalam kepala memang takde pikir lain dah. Memang nak belasah mamat tu je. Siapa-siapa yang halang, semua kena. Akan aku amuk satu kolej ini!

"Assalamualaikum, pakcik. Nak masuk jap. Jumpa kawan," ujar-ku penuh sopan kepada pengawal keselamatan yang bertugas. Nak amuk pun, salam kena bagi.

Aku masuk asrama MLVK. Jumpa mamat tu. Menggigil-gigil mamat tu, tak ngaku dia yang curik baju aku. Member aku lagi dua orang tengah menggeledah almari beliau. Habis bersepah. Rasa macam ah long pun ada. Cuma tak bawak cat merah je.

Barang bukti tak ditemui dalam almari suspek. Kitorang memang bengang. Aku bagi jugak sedas penumbuk kat dagu mamat tu. Nak pukul lebih-lebih, takleh. Tak jumpa barang. Takda bukti. 'Last-last', kami blah macam tu je lah, walaupun rasa tak puas hati dan marah masih membara di dada. Member aku sempat jugak la jentik telinga mamat tu.

Aku terus pulang ke rumah. Menghampiri pagar rumah, dari kejauhan aku lihat mak aku sedang sibuk menjemur kain. Dan dari kejauhan jugak aku nampak baju Levi's 'favorite' aku tersidai kebasahan di ampaian.