Showing posts with label Karutan. Show all posts
Showing posts with label Karutan. Show all posts

Sunday, January 16, 2011

Kura-Kura Dalam Perahu

Kecil-kecil dulu saya ada bela empat ekor kura-kura. Saya bela mereka dari mereka kecil, lebih kecil dari tapak tangan lagi. Saya nama-kan mereka Leonardo, Donatello, Raphael dan Michaelangelo.

Saya bela mereka dengan penuh kasih sayang. Saya letakkan mereka dalam besen sebab rumah saya tak ada akuarium. Saya bagi mereka makan sawi. Kadang-kadang saya bagi juga makan nasi lauk sardin. Tapi sayur dengan nasi ni mereka tak lalu sangat. Jadi saya bagi makan pizza. Selera betul mereka makan. Demand sungguh!

Bagi sawi je, menyorok dalam cengkerang. Perangai macam haram.

Petang-petang balik sekolah saya ajar mereka martial arts. Saya ajar silat, wushu dengan ninja. Saya bagi mereka senjata supaya mereka boleh praktis. Saya bagi pedang kat Leonardo, nunchaku kat Michael, sepasang sai kat Raphael dan sebatang kayu kat Donatello. Kayu tu kayu bekas penyapu. Saya buang bulu-bulu kat hujung tu, bagi kat dia. Maaf lah, Donatelo. Saya dah takde senjata masa tu. Malam biasanya lepas diner, saya ajar mereka menulis, membaca dan mengira. Walaupun saya ajar mereka semua itu, akhirat tidak lah pula dilupakan. Sekali-sekala saya bawa mereka ke surau. Dengar ustaz mengajar. Biar lah balance.

Saya pun ajar mereka supaya hormat orang yang lebih tua dan sentiasa menolong orang yang dalam kesusahan. Pendek kata mereka ni jenis yang menurut kata lah. Ada la gaduh-gaduh, nakal sikit tu. Biasa lah, budak-budak kan.

Meningkat remaja, mereka cakap nak keluar kenal dunia. Saya keberatan untuk melepaskan. Tapi mereka tetap berkeras mahu pergi. Mahu berdikari kata mereka. Konon. Maka saya pun permisikan mereka pergi.

Dah lama saya tak jumpa mereka. Makan belas-belas tahun jugak la. Tapi dengar-dengar cerita mereka sekarang di New York. Macamana boleh sampai sana pun saya tak tahu. Duit bukan ada nak beli tiket flight. Masa tu Tony Fernandes pun tak terfikir lagi nak setup Air Asia. Dengar-dengar jugak kat sana mereka kerja tak menentu. Maklumlah, ekonomi US pun tengah teruk sekarang. Dengar cerita pun mereka tinggal dalam longkang je sekarang.

Tu lah, gedik sangat nak berdikari. Basuh baju pun tak reti.

Saya harap kalau mereka terbaca nukilan ini, pulanglah ke tanah air. Kat sini kurang-kurang banyak jugak kerja yang ada. Kat Cyberjaya sekarang dengar cerita banyak opening. Kat Technology Park pun. Kalau tak reti teknikal, boleh kerja buruh, tebar roti, sapu sampah. Bibik pun tengah on demand sekarang. Boleh jugak kurangkan kebergantungan kepada warga asing.

Hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri.

Balik la wok!

Gambar Michael je. Malas nak lukis empat-empat ekor tuh.

Thursday, September 2, 2010

Gundah-Gulana.

Perjalanan bas kali ini sangat perlahan aku rasa-kan. Berulang kali aku melihat jam di pergelangan tangan-ku. Terasa jarum berputar seperti acuh tidak acuh. Sudah kelemahan bateri-kah? Aku seluk keluar pula telefon tangan dari kocek sebelah kiri seluar ku. Lihat tanda waktu di situ. Sama seperti waktu pada jam tangan-ku. Bermakna bateri jam tangan-ku masih normal.

Tapi masa memang sangat perlahan aku rasa-kan. Aku tidak betah untuk duduk di dalam perut bas ekspres ini. Penghawa dingin yang di pasang seolah tidak mampu menyaman-kan aku. Peluh memercik keluar dari dahi dan liang-liang roma yang lain.

Menggeletar dan menggigil. Seram sejuk aku rasa-kan. Berdebar dan tidak keruan. Sesekali aku mengerling melihat penumpang sebelah yang lena di ulit mimpi. Jaki sungguh aku lihat beliau tidor. Jaki kerana aku tidak dapat tidor seperti beliau. Mahu sahaja aku hulur-kan penampar mesra kepada beliau agar beliau bingkas bangun, agar beliau tidak dapat tidor seperti aku juga.

Owh, tapi itu tidak bermoral. Tidak baik berdengki. Astaga. Aku mengucap di dalam hati.

Tidak tahu berbuat apa. Cuma berdoa agar perjalanan ini cepat sampai ke destinasi. Aku perlu segera sampai. Agar aku dapat merungkai segala keresahan dan kekusutan ini.

Biar aku tenang, biar aku lega. Biar tiada lagi percikan halus peluh. Biar tidak lagi berdiri bulu roma di badan-ku ini. Biar selesai semua-nya.

Setelah beberapa jam berteman-kan gundah gulana serta perasaan yang tidak mententeram-kan, ku lihat bas mula memasuki ibu kota. Menuju ke hentian terakhir di perut hutan batu. Makin hampir, makin berdebar hati-ku. Saat yang semakin hampir. Untuk aku membuat perhitungan. Melangsai-kan segala yang terpendam dan tertunggak. Ya, aku nekad. itu perkara pertama yang harus aku laku-kan di kota ini. Apa nak jadi-jadi lah.

Saat bas berhenti, aku terus menerpa keluar, memecut laju menuju ke arah papan tanda yang aku tunggu-tunggu dari dalam bas tadi.





Thursday, April 1, 2010

Aku, Blog dan Kain Pelikat

Aku mula menulis blog sekitar September 2008. Aku menulis kerana desakan perasaan kebosanan yang teramat tinggi di pejabat waktu itu. Tiada kerja, tapi wajib datang ke pejabat. Memang betul-betul gaji buta-lah.

Walaupun begitu, aku sudah membaca blog sekitar, aku lupa sekitar bila. Tapi sekitar dua atau tiga tahun sebelum itu-lah. Dan aku jarang meninggal-kan komentar pada blog-blog yang aku singgah. Aku tidak tahu mengapa. Ada banyak blog yang aku gemar baca. Jangan fikir aku hanya baca blog yang aku link-kan di tepi belah kanan laman aku sahaja. Banyak lagi sebenar-nya. Blog rakan-rakan, boleh dikatakan kesemua-nya aku baca setiap nukilan terbaru mereka.

Sama-lah juga dengan blog kereta si Paul Tan, blog Faisal Tehrani, Neem dan lain-lain. Sekadar menyebut beberapa nama. Masak aku kalau mahu senarai-kan semua. Sampai subuh belum tentu habis. Tapi seperti yang aku nyata-kan tadi, aku jarang meninggal-kan komentar. Tak tahu kenapa. Barangkali kerana aku bukan jenis yang suka komen tentang orang, tulisan mereka, diri mereka atau apa-apa saja berkaitan mereka. Bukan-nya tidak komen langsung, tapi jarang.

Di pejabat, banyak gossip yang aku tahu. Kadang-kadang datang seorang staff mahu bercerita sesuatu yang dia fikir-kan 'hot' dan 'latest' la konon-konon. Tapi aku sudah tahu. Dialog-dialog tipikal yang aku akan dengar -

"Eh, kau dah tahu rupanya? Mana kau tahu?"
atau
"Banyak cerita yang kau tahu rupa-nya kan, tapi kau buat diam je. Siot ah!".

Aku kurang pasti kenapa mereka suka datang ke tempat aku dan bercerita itu ini. Walhal aku kadang-kadang bukan-nya bagi sebarang respon sangat pon. Aku sekadar layan-kan aje. Dan cerita itu habis di situ. Hingga-lah datang orang lain pula bercerita.

Tujuan aku menulis nukilan ini, sebenar-nya kerana ada orang yang pinta aku meninggal-kan komentar di blog-nya. Bukan aku tidak mahu, tapi bila aku baca nukilan terbaru-nya, aku tidak tahu apa yang hendak di tulis. Mungkin aku boleh menjadi seorang pembaca atau pendengar yang setia sahaja..kot?

Jadi kepada yang berkenaan, usah berkecil hati. Tiada atau kurang komentar aku pada laman kamu, tidak bermakna aku tidak membaca hasil tulisan kamu. Tapi mungkin ada orang lain yang lebih sesuai untuk memberi komentar. Aku akan meninggal-kan komentar bila aku rasa perlu. Tidak perlu di suruh atau dipinta, mengerti?

Kain pelikat? Oh ya. Tiada kaitan dengan nukilan ini. Saja aku letak sebagai tajuk nak bagi nampak panjang sikit. Lagipun aku menulis nukilan ini dengan hanya berkain pelikat. Malam-malam ni, pakai kain je. Bagi angin masuk sikit. Baru nyaman.

Hah, dah baca tu, tulis la komen! Selamat malam!

Thursday, October 15, 2009

Lepas-kan Aku

Apabila dia berjalan, dia menghayunkan tangan, berbanding pinggul-nya..
Apabila dia bertutur, dia menggerak-kan mulut, berbanding bibir-nya..

Dan aku sudah lama menunggu akan si dia. Lama aku tunggu akan-nya. Aku tidak pasti apakah aku mampu bertahan. Mampu-kah aku bertahan?

"Lepas-kan aku," kata-nya..
"Lepas-kan aku,"
Lepas-kan aku, dan aku akan mahu-kan kamu, lebih lagi..

Apabila dia mahu, dia mahukan matahari, berbanding bulan..
Apabila dia melihat, dia melihat bintang di dalam bilik-nya.

Lama aku menunggu-nya. Cukup lama aku menunggu akan si dia. Tidak pasti aku mampu bertahan. Aku tidak pasti aku mampu bertahan.

"Lepas-kan aku," kata-nya.
"Lepas-kan aku,"
Lepas-kan aku, dan aku akan...
mahu-kan kamu.


Sepotong kek untuk terjemahan...

Tuesday, September 8, 2009

H1N1

Aku tidak tahu apa yang terjadi kini. Acapkali aku cuba menarik tetikus untuk melorek sesuatu, hasil-nya mengecewakan. Tidak seperti dahulu. Jauh panggang dari api. Ibarat tikus membaiki labu. Sudah terang lagi bersuluh. Apa-kah petanda aku sudah mulai hilang momentum untuk menulis?

Dulu sebelum mula berblogging, aku sering mengikuti tulisan-tulisan penulis blog yang pada aku hebat dan mahir menulis. Setiap nukilan terbaru pasti akan aku baca. Tapi satu demi satu mereka mulai diam dan beku. Seperti keputusan ilham untuk terus menulis. Nukilan-nukilan yang terhasil selepas itu juga tidak sehangat atau setajam nukilan terdahulu.

Apakah mereka mulai kekeringan idea? Atau mulai bosan? Atau ada komitmen lain yang menghalang untuk terus berkarya?

Aku juga kini meniti titian perjalanan yang sama barangkali. Jujur-nya, kebanyakkan nukilan aku, ilham-nya datang daripada lukisan. Kitaran-nya adalah seperti begini :

i - Bosan: Pertama sekali, saat itu aku sedang bosan. Bosan kerana tidak ada kerja. Atau kerapkali juga ada kerja, tapi aku tiada 'mood' untuk menyelesaikan-nya. Aku pasti kalian juga pernah berasa begitu. Tambah-tambah jika kerja itu tidak begitu 'urgent'. (Apa makna 'urgent' dalam BM?)

ii - Lorek: Tangan aku mulai rasa gatal-gatal. Terus aku memegang tetikus dan mulai menarik perlahan-lahan untuk aku lukis-kan sesuatu. Ilham lakaran yang terhasil itu biasa-nya datang secara spontan. Ada juga kadang-kadang lain ilham yang datang, tapi lain hasil lakaran-nya. Itu perkara biasa.

iii - Coret: Di ulang, CORET. Bukan CARUT. Sila besarkan anak mata anda. Aku mula mencoret sesuatu berdasarkan lukisan yang terhasil. Dua tiga ayat, membawa kepada baris, membawa kepada perenggan. Dan akhir sekali terhasil lah coretan atau sebuah nukilan.

Tapi itu kebanyak-kan nya. Seringkali juga aku menulis tanpa apa-apa lukisan. Biasa-nya berdasarkan pemerhatian sekeliling atau pengalaman aku dan rakan-rakan.

Walau-bagaimanapun, titik permulaan kepada segala benda adalah B.O.S.A.N. Benar, aku menulis ketika bosan atau marah atau rasa seperti ingin lepaskan sesuatu. Mungkin hari-hari sekarang aku tidak ada rasa marah kepada sesiapa. Atau aku sudah mual dengan politik negara. Atau aku terlalu letih dengan kerja. Segala macam kemungkinan. Biar aku sahaja yang tahu. Aku sendiri pon sudah jarang mengikuti blog rakan-rakan yang lain. Maaf ya, rakan-rakan. Kadang-kadang selepas membaca blog-blog lain, ilham juga bisa ke mari.

Yang pasti aku tidak tahu apa yang berlaku. Aku perlukan cahaya. Tapi bukan silau cahaya yang membutakan.

Hmm...diam tidak diam siap satu nukilan. Nampak sangat aku tengah bosan sekarang.

Wajah seorang yang kebosanan

Friday, April 24, 2009

Monolog Anggota Badan

Rembesan-rembesan asid cair mula keluar. Menggigit segala urat dan dinding perut. Mengeluar-kan dendangan halus yang aku sendiri tidak faham maksud-nya. Minta di isi. Minta dipenuhi. Otak mula memberi isyarat kepada kaki agar bingkas bangun, mencari barang sesuap makanan. Namun mata masih mahu disini. Memaku pandangan pada kaca televisi(Pengaruh Muspa).

Kaki juga seakan malas untuk bergerak. Lenguh kata-nya. Otak menerima pelbagai isyarat berbeza dari anggota badan yang berbeza. Otak semakin buntu. Perlu bertindak adil dalam hal sebegini. Biar keputusan bisa disambut baik oleh anggota yang lain.

Perut hantar isyarat lapar, mata mahu tonton televisi, kaki sudah lenguh tidak mahu melangkah. Setakat ini hanya tangan, telinga, mulut dan buah pinggang mengambil sikap berkecuali.

Otak pun sudah pening. Susah juga menjadi otak, ni. Nasib baik aku tak jadi otak. Kata hidung.

Diam, diam, diam.

Baik, otak sudah bermuktamad. Tidor sahaja.

Mata terkedu. Mulut terdiam. Kaki bersorak. Perut merajuk.

Shut down~

Monday, April 13, 2009

Nestum Habis

Hujan sudah mulai turun. Macam biasa. Lebat-lebat. Silau kilat dan bunyi guruh silih berganti. Masa-masa begini, siapa-siapa yang sedang digigit kura-kura akan terlepas dari gigitan itu. (Adakah ia benar atau sekadar mitos?). Aku tidak pasti. Sebab aku tidak pernah di gigit kura-kura. Walaupun aku pernah membela empat ekor anak kura-kura waktu kecil dahulu. Pengaruh animasi Ninja Turtle. (Usah di tanya nama keempat-empat ekor anak kura-kura aku itu. Kalian bisa meng-agak).

Kebosanan. Baru terima berita dari tanah India. Ya, syarikat ini sudah di ambil alih. Secara automatik-nya aku sudah bertukar syarikat. Tapi esok belum pasti. Entah apa yang boleh terjadi.

Haus.

Aku ke pantry. Di fikiran, terbayang campuran nestum dan milo yang hangat. Mampu memanis-kan anak tekak dan mengalas perut.

Kecewa.

Kehabisan nestum dan milo. Berputar-putar memerhati. bancuh sahaja apa yang ada. Nescafe dan susu nespray. Eh, bukan sepatut-nya creamer ke? Tidak mengapa. Teguk sahaja. Hujan di luar masih belum mahu berhenti.

Wei, siapa mahu main fussball??

P/s : Aku sedang mencuba proxy baru. Melihat adakah mampu aku bernukilan kembali.

Tuesday, March 10, 2009

Pupus


Pasti ada antara kamu yang menyangka nukilan kali ini tentang cinta yang bertepuk sebelah tangan. Kerana kumpulan muzik dari Indonesia, Dewa pernah menulis lagu yang berjudul 'Pupus'. Jika di hayati lirik-nya adalah tentang seorang pria yang menyukai seorang dewi, malang-nya cinta itu tidak terbalas.

Bukan. Bukan pasal itu. Mula-nya aku sekadar melorek-lorek tetikus. Dalam keadaan separa sedar, tiba-tiba terhasil lukisan di atas. Lantas aku tersedar dari lamunan dan bercadang mahu meletak-kannya di sini. Baru sahaja aku menaik-muat lukisan ini, dan berkira-kira mahu menulis sesuatu, terpacul di sisi aku muka yang sangat aku kenali. Yang agak jarang sekali datang melawat kubikel aku yang tinggi seperti dedalu di tengah-tengah lautan lalang. Benar, wajah encik Bos.

Di pendek-kan cerita, aku kantoi dengan beliau-lah. Macam biasa, soalan yang akan keluar dari mulut-nya, "What is this?".

Dalam bahasa ibunda aku, "Pebenda nih?".

Kalau terjemah dalam bahasa German pula, "Grundlegende Wörter?".

Ok, aku tipu. Aku tidak tahu berbahasa German. Ayat di atas entah dari mana aku petik dan tampal sahaja. Siapa suruh percaya?

Hmm..agak melalut nampak-nya. Berbalik kepada cerita asal. Selepas di terjah secara tiba-tiba, aku tidak tahu apa yang perlu di jawab. Aku sekadar mengata-kan aku sedang melaku-kan kajian dan analisa faktor sebenar kepupusan dinosaur.

Mujur hari ini 'mood' beliau agak baik. Maklum sahaja, kami baru menghadiah-kan kek hari lahir di iringi nyanyian suara-suara sumbang budak-budak department aku. Beliau hanya mengangguk. Tidak tahu-lah apa yang beliau fikir-kan. Mungkin dalam hati beliau berkata, " Apa jadah study pasal dinosaur? Bila masa department ni jadi pusat R&D dinosaur?" Atau apa-apa sahaja. Aku tidak tahu.

Sigh.. (mengeluh).

Siot sungguh. Hilang segala idea dan fakta untuk aku berbicara tentang haiwan purba ini. Sudah. Aku mahu pulang. Ada client menanti. Mungkin lain kali sahaja aku menulis pasal dinosaur.

Chiow!

Sunday, March 1, 2009

Pagi Ahad Yang Sempurna

Sekeping..eh, mungkin tidak cukup. Baik, 2 keping roti canai, kuah kari kambing. Segelas teh o suam. Hirup berdikit-dikit. Senaskah akhbar.

Tanpa telefon bimbit. Tanpa jam tangan.

Kerusi empat kaki, tanpa penyandar. Meja bulat kecil. Warung bawah pohon. Cahaya matahari tidak terlalu panas, tidak terlalu silau. Sekawan burung sedang terbang.

Cukup. Tidak mahu lebih dari itu. Nikmati-nya perlahan-lahan.

Thursday, February 26, 2009

Terima Kasih, Bulan

Apabila kehampaan sering kali bertandang, terkadang terasa juga ingin mencari di mana silap diri ini. Adakah perasaan aku senang sahaja bertukar dari benci kepada cinta. Sayang kepada marah. Atau barangkali rindu pada dendam?

Tolong-lah jawab, wahai bulan.

Bawa-lah aku terbang ke sana. Walau aku tahu tiada apa pada kamu. Hanya lohong-lohong sisa hempasan tahi bintang di sana sini. Tapi kamu masih setia menerangi malam aku.

Dan di saat aku merenung pada-mu. Aku juga mengharap kau begitu. Bukan sekadar renungan biasa. Tapi punya seribu satu makna. Biar-kan kita dengan tafsiran masing-masing. Aku punya malam yang panjang untuk duduk menterjemah renungan kamu itu. Harap-nya aku tidak tersilap baca.

Oh, aku rindu-kan bulan.

Dan aku kecewa saat kamu bersembunyi di balik awan-awan itu. Aku gundah. Aku gulana mencari kamu. Keluar-lah dan melayani aku. Terasa petikan-petikan halus tali gitar seolah-olah cuba membujuk aku.

Aku buat tidak endah puisi-puisi kamu. Berpura-pura tiada apa yang berlaku. Walhal kamu tahu aku sedang mencari bulan aku. Mana dia, oh mana?

Keluar-lah wahai bulan. Bawa bersama Twinkle si bintang kecil itu. Aku buta. Aku lemas tanpa cahaya kamu. Aku hanya mahu duduk di bawah sini. Merenung kamu dan tersenyum. Damai sendiri.

Kerana aku tahu, aku dan dia berkongsi bulan yang sama. Kerana aku tahu dia juga memerhati bulan yang sama.

Aku tahu dia mengerti.

Thursday, February 12, 2009

Gambar Seksi

Tersengguk-sengguk pada petang hari, meratap kesejukan dari pendingin hawa nan membeku. Apa kejadah pasang penghawa dingin waktu-waktu hujan sebegini? Lantas teringat jaket cokolat muda di rumah. Alangkah nikmat-nya jika ada sesuatu buat pemanas badan kala begini. Terus minda aku menerobos kepada kain selimut, tilam dan bantal yang empuk di kamar beradu. Seakan-akan memanggil aku pulang. Uh, paling tidak waktu hujan-hujan begini menyantap ubi rebus dan secawan kopi adalah salah satu nikmat dunia yang tidak terhingga.

Cukup. Aku tidak mahu membiar-kan khayal imaginasi aku terus terbang jauh. Hanya membuat-kan aku menelan air liur dan jadi tidak betah duduk di kubikel seperti penjara ini.

Teringat kepada tag-tag dari beberapa rakan yang sengaja aku abai-kan. Pura-pura tidak terbaca entry-entry mereka yang mengetag aku sedikit waktu dahulu. Antara yang aku teringat adalah tag daripada Fida, Im, Feresa,Mas dan beberapa yang lain. Maaf jika aku tidak menulis nama kalian yang lain. Aku sudah lupa. Maaf juga kerana mengabai-kan tag kalian. Bukan kerana tidak menghargai kalian. Bukan juga kerana malas. (Ok, tidak baik tipu. Memang aku malas nak jawab tag-tag itu)

Dan 2 hari lepas Encik Aghoo pula mengetag. Memandang-kan telah banyak tag yang terabai dan tag daripada Encik Aghoo ini tidak memerlu-kan aku menjawab soalan-soalan yang banyak dan panjang, jadi aku bersetuju untuk melayan tag kali ini.

Tiada syarat dan peraturan yang jelas dari beliau. Jadi aku hanya mengikut bulat-bulat dari nukilan beliau itu.

Pertama, tag ini mahu aku letak-kan gambar diri aku yang paling seksi. Baik, ini gambar aku sewaktu di tepi pantai. Encik Aghoo pasti sudah tahu aku tidak akan letak-kan gambar aku di sini. Jadi, cukup-lah gambar lakaran sebagai ganti. Pantai mana dan bila masa-nya, tidak perlu-lah aku hebah-kan.

Uh, seksi-kah aku? Sila tergoda

Kedua, tag orang lain. Aku tidak mahu tag siapa-siapa. Aku mahu membasmi gejala tag-mengetag ini. Bersama kita membasmi-nya. Hanya sepuluh minit setiap minggu untuk membersih-kan persekitaran rumah dari takungan air yang boleh menyebab-kan pembiakan nyamuk aedes. Aedes pembunuh!

Sunday, January 25, 2009

Halus


Perlahan-lahan kelopak mata ini aku buka-kan. Rasa pening masih berpinar di benak ini. Kelam dan gelita. Rasa lemas dan sesak hingga ke halkum. Aku cuba berdiri, tapi lemah. Terduduk semula di ruang entah di mana ini.

Nun di hujung sudut dunia, ku lihat cahaya halus seakan memanggil. Datang-lah ke mari. Akan ku bawa kamu ke pengakhiran terowong panjang ini. Terus-terusan bergema memanggil dan memujuk jiwa aku yang kosong ini. Aku menggagah-kan kaki untuk berdiri. Setapak demi setapak aku cuba melangkah dalam kepayahan. Cuba untuk mengejar cahaya halus itu.

Berkali-kali aku terjatuh. Usah di tanya tentang seribu satu calar-balar dan luka di kaki. Tidak mampu melangkah, kuheret kaki yang longlai ini. Masih lagi cuba mengejar cahaya yang semakin lama semakin jauh meninggal-kan jasad ini. Berlalu tanpa belas, tanpa peduli. Hanya bisikan-bisikan halus sang aurora melempar-kan seribu satu persoalan yang aku sendiri tidak mampu terjawab.

Aku terjatuh lagi. Terduduk. Aku sudah letih. Telah ku perah segala urat dan nadi berfungsi. Tapi mereka seakan sudah buntu tidak berdaya. Cahaya itu semakin jauh. Semakin mengecil. Semakin hilang.

Dan aku hanya mampu terduduk, diam memerhati.

Monday, January 12, 2009

Tak Tak Si Botak !

3 hari lepas aku mengambil keputusan untuk membotakkan kepala. Dan seperti yang aku duga, pelbagai persoalan menerjah apabila aku ketemu sahabat-handai selepas itu. Antara soalan-soalan yang biasa di aju-kan :

- kau ada masalah ke, bro?
- kau bernazar eh?
- dapat awek baru ke?
- banyak kelemumur ni

Dan yada, yada...bermacam-macam lagi. Itu belum bertemu lagi soalan seperti 'baru keluar lokap ke?'. Soalan ini biasa-nya akan di tanya oleh sahabat yang sudah lama tidak ketemu. Apa punya soalan-lah? Ingat aku ini jahat sangat ke?


Bagi mereka yang masih baru mengenali aku, tiada apa pun sebab atau tujuan aku membotak-kan kepala. Rambut aku ketika itu sudah panjang dan berserabut. Dan aku biasa-nya akan membotak-kan kepala aku setiap tahun. Bermula dari tingkatan empat lagi. Tapi tahun lepas aku tidak berkesempatan. Oleh itu, pada petang khamis lalu, datang rasa nak ringan-kan kepala. Itu sahaja. Tiada kena mengena dengan keluar lokap, bayar nazar atau yang lain-lain. Orang kita sangat gemar berfikir yang bukan-bukan. Terutama kepada orang yang berkepala botak. Walaubagaimanapun, terima kasih kawan-kawan kerana cakna. Dan di bawah adalah gambar aku selepas membotak-kan kepala.


Apa? Jaket bulu tu? Oh ya, aku beli di bazaria larut malam di Danau Kota, Wangsa Maju.

Wednesday, December 17, 2008

Gapai-lah Bintang Itu


Kadang kala kita lemas dalam menempuh arus hidup ini. Hilang suara dan kekuatan untuk berkata-kata. Ginjal dan paru-paru bagai di ikat tali tangsi yang halus dan meluka-kan.

Sesak. Pedih. Ngilu.

Mana cahaya itu? Datang-lah dan bawa aku ke hujung terowong penantian yang panjang ini. Aku sudah bosan berada dalam kegelapan yang membuta-kan. Aku mahu hirup udara kebebasan, bukan kerinduan.

Apa-kah kamu lupa pada sejarah Rom dulu? Siapa dalang membunuh Ceasar kalau bukan si Brutus? Kamu fikir orang-orang seperti ini sudah tiada? Brutus masih bersepah di sana-sini. Tinggal kamu sahaja untuk belajar atau tidak.

Lemas. Sepi. Hilang.

Cinta itu sudah hilang. Cinta itu sudah tiada. Usah tertipu dengan garisan pelangi halus di kaki langit itu. Garisan fatamorgana yang akan hilang apabila kamu mengejar-nya. Masih lagi tidak berhenti mengejar? Tidak penat-kah kamu?

Aku berdiri di sini bukan mahu mendengar teori-teori Newton kamu. Bukan juga cerita perang Cleopatra dan Ptolemy XIII. Jauh sekali teori-teori ekonomi kapitalis kamu yang menjerut leher itu. Halkum aku sudah tersekat. Mata aku mulai kabur. Jari aku sudah sejuk.

Buntu. Bingung. Hampa.

Ambil pistol di atas meja itu dan tembak-lah kepala-ku. Biar bersepai otak dan tengkorak ini. Biar bersembur darah beku dan serebelum agar mati segala saraf serta nadi. Biar bersepai.

Bernafas. Terbang. Jauh. Bawa aku ke sana.

Monday, December 15, 2008

Sengkek itu Indah

Sahabat,

Aku teringat pada kamu sewaktu sedang menikmati sekeping roti canai dan kuah kari kambing baru-baru ini. Aku teringat-kan kamu bukan kerana muka kamu seperti roti canai, bukan juga kerana bau badan kamu seperti kambing. Bukan. Tidak pernah aku menganggap sebegitu. Aku teringat-kan kamu kerana kehidupan masa lampau yang kita lalui bersama, sahabat.

Kehidupan di mana kebergantungan kesihatan poket kita adalah sepenuh-nya kepada duit pinjaman yang tidak seberapa dan sumbangan ikhlas ibu bapa pada awal bulan. Kesihatan poket yang turut mempengaruhi kesihatan fizikal dan mental serta tahap kekempisan perut kita sedikit waktu dahulu.

Masih ingat-kah kamu yang kita hanya menjamah mee segera untuk makan tengahari kadang-kala sehingga seminggu lama-nya terutama waktu-waktu hujung bulan? Berkongsi mangkuk merah kepunyaan orang lain beserta chopstik-nya. Dan kita menjamah sekeping roti canai pada waktu malam-nya untuk mengalas perut hingga subuh hari esok? Tapi kita tidak pernah mengeluh. Kita menghabis-kan masa berjam-jam pada waktu malam berbual dan berjenaka. Dengan hanya bermodal-kan sekeping roti canai dan segelas teh tarik serta sebatang rokok yang di kongsi dua.

Dan kadang-kala kita memasak untuk menerus-kan kelangsungan hidup. Walaupun masakan kita hanya-lah telur goreng aneka rasa dan kicap di selang-seli dengan lauk daging kadang-kala, tapi kita masih mampu bergembira. Masih mampu ketawa. Ya, kita masih mampu makan. Memang aku tidak handal memasak seperti kamu, tapi kamu harus ingat aku pembantu yang baik di dapur, sahabat.

Ingat-kah lagi pada Cumi? Nasi lemak Cumi di bawah rumah pangsa kita itu. Yang menjadi santapan kita jika tidak setiap malam sekalipun. Nasi lemak yang mengadungi ikan bilis, telur rebus dan timun dengan harga seringgit itu-lah makanan paling berkhasiat yang kita mampu makan ketika itu. Baik sungguh Cumi. Apa khabar ya dia sekarang? Dan kita duduk di situ berjam-jam berbual dan berjenaka. Langsung kita tidak bersedih, sahabat.

Jika kamu lupa pada makanan-makanan ruji kita dahulu, masih ingat-kah kamu tika motor kita mati di tengah jalan kerana kekeringan petrol? Mati secara tiba-tiba bukan sekali dua tapi berkali-kali. Dan yang aku paling tidak boleh lupa semasa motor itu mati di depan tempat menunggu bas, di mana ramai minah-minah kilang berada di situ saat itu. Di mana ketika itu kita baru pulang dari pembentangan projek di kampus. Lengkap berpakaian baju kemeja lengan panjang ber-seluar pejabat dan menggalas komputer riba. Lagak-nya seperti jurujual barangan langsung. Mujur sahaja kita sudah membuka tali leher. Dan kita menolak motor hampir 10km hari itu, sahabat. Dan pulang ke rumah, kita ketawa mengenang-kan muka-muka minah kilang yang tersengih-sengih memandang kita.

Sengkek sungguh kita waktu itu, sahabat. Kita hanya merasa makan di restoran makanan segera pada awal semester sahaja. Bermakna dalam setahun hanya 2 kali. Cukup-lah daripada tidak merasa langsung, bukan? Dan kita memiliki banyak masa bersama lantaran kesengkekan yang membawa kepada ketidak-mampuan untuk keluar berfoya-foya di bandar pada hujung minggu. Tapi kita gembira dengan hidup kita waktu itu, sahabat. Melepak di beranda pada waktu malam dengan cerita-cerita dongeng kita dan alunan gitar kapok yang bisa membuat-kan jiran sebelah mengamuk tidak boleh tidur.

Jika kamu tanya aku hari ini, sahabat. Usah-kan roti canai, pizza pun aku boleh belanja kamu. Tidak perlu tunggu awal semester.

Jika kamu tanya aku hari ini, sahabat. Usah-kan nasi lemak Cumi, sebut sahaja makanan di mana-mana steak-house, yang tidak pernah kita termimpi untuk masuk sebelum ini, aku boleh belanja. Tidak perlu tunggu awal semester.

Jika kamu tanya aku hari ini, sahabat. Sebut sahaja mana tempat kamu mahu pegi. Aku boleh bawa-kan. Tidak perlu risau tangki minyak kering.

Tapi kenapa kita tidak gembira sekarang, sahabat? Kenapa kita terlalu berkira dan bermasam-muka kerana wang ringgit, sahabat? Kepingan kertas yang tertera muka Yang dipertuan Agong pertama dan tanda-tangan gabenor Bank Negara itu sering kali mengeruh-kan kita. Kita terlalu takut kehilangan kertas-kertas itu berbanding kehilangan sahabat.

Kenapa jadi begitu sahabat? Bukan-kah kita pernah merasai kehidupan yang sengkek? Bukan sehari dua tapi bertahun-tahun. Dan kita bisa hidup gembira ketika itu. Kenapa sekarang kita perlu gundah, sahabat? Bukan-kan sengkek itu indah?

Thursday, November 27, 2008

Abstrak


Usah di tanya apa yang aku lukis ini. Sebab aku pun tidak tahu. Cuma masa pada hari ini sangat perlahan aku rasa-kan. Aku menjadi lemau. Mengerti? Lemau seperti keropok-keropok keping dalam bekas kedap udara yang tidak di tutup rapat. Tiap kali aku mengerling jam di tangan aku, ku lihat seakan jarum-nya tidak berputar. Mustahil jam aku kehabisan bateri, kerana ia adalah jam tangan kinetik. Beli di bazar larut malam Cheras tu. Nama kota-nya, 'downtown'. Nama tak nak kalah.

Ini apa yang aku fikir-kan sewaktu lakaran ini dalam proses penyiapan. Jam tangan yang meliuk-lentuk itu aku gambar-kan sebagai diri aku yang lemau hari ini. Bukan lemau 'auww' itu ye. Sila buang karutan pada fikiran anda itu.

Lelaki tua itu pula simbol penantian aku menanti masa pulang dari kerja. Berjanggut aku menanti. Dan kura-kura itu sebagai penunjuk betapa perlahan-nya detik bergerak hari ini, hingga di buat perbandingan lebih perlahan daripada makhluk bercengkerang itu. Dan garis-garis belakang itu terhasil dari pergerakn di bawah sedar aku. Otak dan ginjal aku berfungsi tidak seiringan. Mungkin kerana proses perkumuhan aku hari ini tidak seperti jadual sepatut-nya.

Teman pejabat sebelah aku ini(baca : Muspa) mencadang-kan agar aku memberi tajuk lukisan ini sebagai abstrak dan menyuruh aku meminta siapa-siapa yang terbaca nukilan ini untuk memberi definisi mereka yang tersendiri. Oleh kerana beliau yang memberi cadangan, aku akan paksa beliau menjadi pengomen pertama untuk lukisan ini.

Mus, cepat beri definisi kau!

Sunday, November 16, 2008

Killed By Java



Pertama sekali, aku nak ucap-kan terima kaseh kepada Puan Maslina, si bakal ibu kerana sudi mengirim-kan email yang berlampirkan lukisan aku ini. Aku tidak menyangka Puan masih menyimpan lukisan aku sewaktu di India dahulu. Dapat aku 'publish' kan di nukilan ini untuk di jadikan koleksi aku.

Lukisan yang aku lakar-kan sewaktu aku memang bingung dalam kelas Java. Kepada sesiapa yang mungkin terbaca nukilan ini dan tidak tahu apa itu Java, ia adalah sejenis bahasa pengaturcaraan yang semakin meluas di gunakan. Baik untuk aplikasi sistem seperti perbankan atau insuran dan juga untuk aplikasi di dalam telefon bimbit. Bukan orang Jawa yang mencipta bahasa pengaturcaraan ini. Orang putih, bernama James Gosling. Dan nama Java itu di ambil daripada nama biji kopi. Untuk lebih lanjut, sila tanya James Gosling sendiri. Maaf, aku tiada nombor telefon beliau.

Memerlu-kan mereka yang mempunyai logik akal yang tinggi untuk menguasai bahasa ini.Namun logik akal aku tidak menentu. Kadang-kala ia bagus, kadang-kala tidak. Tapi selalu-nya tidak. Mungkin otak aku lebih banyak memikir-kan apa yang hendak di lakukan selepas kelas, sukan apa yang hendak aku main-kan nanti atau makanan apa untuk santapan makan malam nanti. Tapi serius, aku rasa seperti di bunuh perlahan-lahan sewaktu cuba menguasai bahasa ini. Memening-kan otak serta mengecilkan seluruh urat nadi aku. Darah terasa tersekat dan menyukar-kan oksigen untuk di hantar ke otak dan ruang-ruang badan-ku yang lain. Menyebab-kan tubuh aku kadang-kala kejang dan kaku seperti terkena kejutan eletrik.

Namun, aku akui gemarkan Java. Walaupun ia cuba membunuh aku dan tidak membenar-kan aku menguasai-nya, aku tidak akan mengalah. Seperti sambal belacan, walaupun pedas, tapi enak di makan. Dan aku yakin aku dapat menjinakkan benda alah ini suatu hari nanti. Mana bisa mungkin aku lontar-kan jauh cinta yang telah aku semai selama ini. Bermula dari tahun tiga lagi di universiti. Aku yakin satu hari nanti ia akan datang pada-ku. Sekeras-keras kerak nasik, lama-lama nanti terkena air, akan lembut juga.

Wednesday, November 12, 2008

Baha Dan Husin

Husin dan Baha menarik kerusi plastik. Melabuh-kan punggung. Segelas sirap dan teh tarik di pesan. Mamak pelayan kedai tekun menulis pesanan. Entah apa yang di tulis, hanya Tuhan yang tahu.

“Kau bila nak kahwin? Umur dah lanjut, dah tua! Hahaha,” usik Husin.

“Aku dan kahwin la, bro,” balas Baha.

“Ceh! Bila masa-nya kau kahwin? Takde siapa bagitau pun. Senyap je. Takde kad jemputan pun. Paling kurang, ‘sure’ kau dah upload gambar kat Friendster atau Facebook. Hahaha,” Husin tahu Baha memang suka berlawak. Tak boleh pakai punya orang. Sudah agak lama Husin kenal orang tua ni.

“Ni yang susah sikit nak cerita ni. Aku kahwin bukan macam orang lain,” serius nada Baha.

“Apasal? Kau kena tangkap basah ke? Hahaha,” Husin sambung ketawa. Sesekali dapat menyakat Baha.

“A’ah. Macam tu la lebih kurang cerita-nya,” balas Baha, perlahan.

“Kah kah kah! Dengan awek mana pulak kau kena tangkap ni? Macam-macam la kau. Tak habis-habis nak melawak,”

“Aku serius ni. Bukan buat lawak. Kau tengok muka aku ada muka tengah buat lawak ke? Serius ni,” ujar Baha sambil buat muka ketat. Serius habis.

Husin diam. Direnung-nya muka Baha. Senyap, hening, sepi.

“Hahaha. Tak boleh bla la kau buat muka camtu,” Husin tidak dapat menahan gelak. Pandai sungguh Baha buat muka ketat macam tu. Memang Baha pandai berlawak dan berlakon. Boleh masuk Raja Lawak ni.

Baha mengeluar-kan kad kahwin dari dompet. Menunjukkan gambar dia bersama isteri dan seorang bayi perempaun comel di telefon bimbit-nya. Terkedu Husin. Diam seribu bahasa.

“Aku dah setahun kahwin. Terlanjur dengan awek aku. Tapi tak kena tangkap basah laa. Budak dalam gambar ni anak aku laa. Aku rasa bersalah. Sebab tu aku kahwin dengan dia. Kitorang kahwin kat Masjid Kerinchi,” cerita Baha, jujur.

“Family kau dengan dia camana?”

“Masa mula-mula aku cerita kat mak aku, memang la dia marah. Family dia pun sama. Tapi lepas aku cerita satu-satu, aku nak bertanggungjawab apa semua, diorang setuju je lah. Benda dah jadi,”

Husin terdiam lagi. Kalau sebelum ini, Husin hanya lihat di kaca televisyen sahaja cerita-cerita keterlanjuran seperti ini. Tapi hari ini kawan dia sendiri sudah melakukan perkara yang sama. Sebelum ini, Husin marah kalau terdengar cerita-cerita seperti ini. Tapi hari ini Husin tidak marah. Tidak marah bukan kerana Baha adalah kawan-nya. Tapi Baha sanggup bertanggungjawab atas segala kesalahannya. Tidak ramai orang mampu berbuat demikian. Sekurang-kurangnya Baha tidak melarikan diri. Atau menyuruh perempuan itu menggugurkan kandungan. Di hati Husin timbul sedikit rasa hormat pada Baha.

Setiap manusia tidak dapat lari dari kesilapan. Besar atau kecil. Banyak atau sedikit. Memang sekarang Husin boleh berkata tidak mahu melakukan kesilapan yang serupa. Tapi siapa tahu esok atau lusa, perkara yang sama boleh terjadi pada Husin? Tapi bagaimana untuk mengaku dan memperbaiki kesilapan tersebut, itu yang lebih penting. Husin menghirup baki sirap dalam gelasnya.

Saturday, October 11, 2008

Defining Java

Dear James Gosling, please define Java for me!

* klepap klepap (bunyi sayap burung)

A white dove fly out from my window..

A week later, my dove came back with a piece of paper tight at her leg.















Ok, after 4 years now I know what is Java...

Thursday, September 25, 2008

Bila LRT bercium

Petang semalam, sekali lagi berlaku perlanggaran antara 2 gerabak LRT berhampiran stesen Bukit Jalil. 'Six injured in LRT accident'- Laporan dari The Star. Kalau kalian boleh imbas kembali, ini kejadian kedua dalam masa 2 tahun. Bagi aku ini salah satu malapetaka kecil yang terjadi dalam komuniti kita.

2 gerabak Star-LRT sedang 'bercium'

Ya, mereka boleh memberi alasan kerosakan teknikal atau kecuaian pemandu. Tapi atas dasar apa yang membawa kepada alasan tersebut? Korupsi dan kerja sambil lewa. Aku malas nak sentuh pasal korupsi. Kalian boleh tengok sendiri fenomena retak dan runtuh yang berlaku kebelakangan ni.

MRR2 - 30 rekahan. Samy Vellu kata, faktor cuaca. RM70 juta disalurkan untuk kerja baik pulih. Masih lagi retak. Apa cerita, bai?

Bumbung dewan sekolah menengah runtuh di Terengganu.

Pejabat orang asli runtuh di Perak.

Spesifikasi tak pernah ikut tahap piawai yang ditetapkan.

Perkakas harga RM50, 'claim' sampai RM500 (macam kes di sebuah institut kemahiran satu masa dulu - tak perlu aku tuliskan nama). Jadi macam mana sekarang?

Kerja sambil lewa pulak. Perlu aku huraikan? Tak payah lah rasanya. Cuba kamu guna kan perkhidmatan komuter. Pasti kamu sakit hati. Tak pernah tepati masa. Aku rasa dalam banyak-banyak benda, komuter lah yang paling banyak aku maki. Membuang masa, merosakkan program orang, sendat, asyik rosak. Hish, kurang pahala puasa aku.

Kata Nabil, "Lu pikirlah sendiri!"

Aku bersimpati kepada mangsa kemalangan LRT semalam. Sebagai bekas pengguna LRT sepenuh masa dulu, aku faham situasi dan perasaan mereka. Dalam keadaan letih baru balik kerja, berhimpit-himpit macam sardin, cium ketiak orang(aku tak pernah kena, sbb aku tinggi), menghidu pelbagai jenis aroma 'harum'..Nak lagi best, kalau time-time berhimpit tu, ada orang kentut. Peh! Memang bedebah rasa. Tapi nak tuduh pun tak boleh. Mana nak 'detect' si pengentut tu, kalau dah ramai-ramai camtu. Takpe lah, mungkin dia dah cuba menahan angin liar itu, tapi gagal.

Sepanjang menjadi pengguna sepenuh masa LRT, aku bernasib baik tidak pernah terlibat dalam kemalangan. Rosak tu, selalu-lah. Ya, aku bernasib baik, sama seperti aku bernasib baik tidak pernah 'kantoi' keluar malam sepanjang 5 tahun di asrama dulu.(Cerita lain kali). Tapi aku tak dapat bayangkan derita mereka yang terpaksa menggunakan komuter setiap hari. Aku yang kadang-kadang guna pun, dah maki-hamun. Kalian memang penyabar. (sambil buat tabik spring)

Kalau LRT dan komuter pun tak tepati masa dan penuh sendat dengan penumpang umpama ikan sardin, jadi apa beza nya perkhidmatan ini dengan perkhidmatan bas mini dahulu? Sama saja, bukan?

Mungkin yang berbeza- bas mini warna pink, LRT warna putih.

Bas Mini Wilayah

( Lagu 'Bas No. 13' dendangan M.Nasir mengalun - sbg lagu latar )