Tuesday, September 15, 2009

R.I.P Puma Putih-ku


Perlawanan terakhir : Sehari sebelum puasa.
Gelanggang Perlawanan : Stadium kriket Kinrara
(Bukan kat dalam stadium kriket tu. Tapi kat padang kecik sebelah stadium tu. Belakang petronas Bandar Kinrara 5. Aku pun dah 'konfius' nak panggil padang bola ke, padang pasir.)
Tempoh berkhidmat : 2003-2009
Tempat dibeli : Pertama Kompleks(Beli pakai duit elaun matrikulasi tu)
Jumlah perlawanan : 467 perlawanan
Jumlah jaringan : 286 gol.
Jumlah ke kedai kasut : 2 kali. Sekali jahit tapak, sekali jahit depan.
Kejayaan peribadi bersama Puma Putih ini :
  • mewakili Malaysia menentang pasukan India sewaktu di Mysore, India (banyak-banyak 'game', kitorang menang dua kali je kot. Hampeh!)
  • mewakili pasukan bolasepak Infosys menentang Kolej Kejuruteraan Mysore(Satu-satunya pemain import dalam pasukan. Merasa jugak aku jadi 'player import'. Walaupun tak dibayar gaji.)
  • membantu fakulti meraih tempat kedua dalam liga antara fakulti tahun 2006.
  • membantu kampung sebelah mara ke suku akhir kejohanan bola sepak 8 sebelah anjuran Pemuda Pas. Kalah sebab kenyang makan nasik minyak. Rujuk disini.
  • berjaya meninggalkan parut 'stud' di betis Mat Nor sewaktu latihan sebelum menentang pasukan pejabat Risda.
  • banyak membantu aku dalam menghasilkan sepakan-sepakan lencong jurus ala-Ronaldinho zaman dia tengah top dulu.
  • meningkatkan kepantasan larian dalam mengejar bola seperti Samuel Eto'o dalam game Pro Evolution Soccer 2009.
  • menyemarak-kan aroma bau dekat rak kasut rumah. Tambah-tambah kalau baru lepas main bola waktu hujan. Lagi kaw bau dia. Betul-betul haw-liaw!
  • kejayaan paling berharga, mendapat ramai kenalan di atas padang. Aku pun dah tak ingat berapa banyak padang aku main bersama Puma Putih ni. Dari padang-padang kampung kat Dungun, ke Dataran Sejarah Ayer Keroh, padang dekat MSN Setiawangsa dan banyk lagi-lah.
Sebab digantung : dah rosak teruk. Tapak dah barai. Depan dah bocor lagi. Memang dah nazak sangat. Enam tahun pakai. Memang puas hati la. Berbaloi-baloi.

Jika ada sesiapa yang ingin membeli untuk dijadikan barang kenang-kenangan, atau hadiah kepada kekasih sempena Aidilfitri yang bakal menjelang tiba, sila hubungi saya seperti alamat e-mail di atas. Harga boleh runding. Harga promosi sempena nak raya. Takda hal. 'Rare item' ni.

Tuesday, September 8, 2009

H1N1

Aku tidak tahu apa yang terjadi kini. Acapkali aku cuba menarik tetikus untuk melorek sesuatu, hasil-nya mengecewakan. Tidak seperti dahulu. Jauh panggang dari api. Ibarat tikus membaiki labu. Sudah terang lagi bersuluh. Apa-kah petanda aku sudah mulai hilang momentum untuk menulis?

Dulu sebelum mula berblogging, aku sering mengikuti tulisan-tulisan penulis blog yang pada aku hebat dan mahir menulis. Setiap nukilan terbaru pasti akan aku baca. Tapi satu demi satu mereka mulai diam dan beku. Seperti keputusan ilham untuk terus menulis. Nukilan-nukilan yang terhasil selepas itu juga tidak sehangat atau setajam nukilan terdahulu.

Apakah mereka mulai kekeringan idea? Atau mulai bosan? Atau ada komitmen lain yang menghalang untuk terus berkarya?

Aku juga kini meniti titian perjalanan yang sama barangkali. Jujur-nya, kebanyakkan nukilan aku, ilham-nya datang daripada lukisan. Kitaran-nya adalah seperti begini :

i - Bosan: Pertama sekali, saat itu aku sedang bosan. Bosan kerana tidak ada kerja. Atau kerapkali juga ada kerja, tapi aku tiada 'mood' untuk menyelesaikan-nya. Aku pasti kalian juga pernah berasa begitu. Tambah-tambah jika kerja itu tidak begitu 'urgent'. (Apa makna 'urgent' dalam BM?)

ii - Lorek: Tangan aku mulai rasa gatal-gatal. Terus aku memegang tetikus dan mulai menarik perlahan-lahan untuk aku lukis-kan sesuatu. Ilham lakaran yang terhasil itu biasa-nya datang secara spontan. Ada juga kadang-kadang lain ilham yang datang, tapi lain hasil lakaran-nya. Itu perkara biasa.

iii - Coret: Di ulang, CORET. Bukan CARUT. Sila besarkan anak mata anda. Aku mula mencoret sesuatu berdasarkan lukisan yang terhasil. Dua tiga ayat, membawa kepada baris, membawa kepada perenggan. Dan akhir sekali terhasil lah coretan atau sebuah nukilan.

Tapi itu kebanyak-kan nya. Seringkali juga aku menulis tanpa apa-apa lukisan. Biasa-nya berdasarkan pemerhatian sekeliling atau pengalaman aku dan rakan-rakan.

Walau-bagaimanapun, titik permulaan kepada segala benda adalah B.O.S.A.N. Benar, aku menulis ketika bosan atau marah atau rasa seperti ingin lepaskan sesuatu. Mungkin hari-hari sekarang aku tidak ada rasa marah kepada sesiapa. Atau aku sudah mual dengan politik negara. Atau aku terlalu letih dengan kerja. Segala macam kemungkinan. Biar aku sahaja yang tahu. Aku sendiri pon sudah jarang mengikuti blog rakan-rakan yang lain. Maaf ya, rakan-rakan. Kadang-kadang selepas membaca blog-blog lain, ilham juga bisa ke mari.

Yang pasti aku tidak tahu apa yang berlaku. Aku perlukan cahaya. Tapi bukan silau cahaya yang membutakan.

Hmm...diam tidak diam siap satu nukilan. Nampak sangat aku tengah bosan sekarang.

Wajah seorang yang kebosanan