Monday, November 16, 2009

Wakil Sekolah Part II

Menginjak naik ke tingkatan dua, bermakna berpindah ke bangunan asrama baru. Jika sebelum ini kami hanya bermukim sesama kami, kali ini kami berpecah mengikut asrama rumah masing-masing. Mula bercampur bersama para senior di bawah satu bumbung. Buli? Andai tidak tahu erti perkataan ini, usah tinggal di asrama. Saat ini lah buli dan sepak terajang menjadi mainan. Hanya yang benar-benar cekal hati-nya bisa menerus-kan kehidupan di sini. Usah bicara tentang perjuangan jika gentar pada kezaliman. Cewah, macam ayat Anwar Ibrahim pula!

Aku ditempatkan di blok asrama paling jauh dari blok akademik. Nun, sayup mata memandang. Kira-nya jika aku tertinggal buku atau barang sewaktu tiba dikelas, harapan untuk aku patah kembali ke bilik dan mengambil-nya memang tidak ada. Jika aku patah kembali ke asrama, memang dua ratus peratus aku tidak akan kembali ke kelas. Begitu-lah konsikuens-nya.

Jadi, dek kerana asrama aku yang begitu menghujung dan jauh, jauh dari gelanggang bola keranjang, dewan badminton, padang bola dan segalanya. Hanya ada satu padang yang betul-betul hampir dengan asrama aku - padang hoki. Ya, padang hoki. Hanya bersebelahan asrama aku. Justeru, aku memilih menyertai pasukan hoki.

Dalam misi aku untuk mencapai matlamat mewakili sekolah, aku perlu bijak memilih posisi. Jadi aku telah memilih posisi sebagai penjaga gol. Tiada siapa yang sanggup menjadi penjaga gol hoki. Waktu itu, untuk pasukan bawah 15 tahun, hanya ada seorang penjaga gol hoki. Budak tingkatan tiga. Setelah menjalani latihan lebih kurang, agak-agak sudah reti memakai kelengkapan penjaga gol hoki yang iras-iras robocop itu, aku diserap masuk ke pasukan hoki bawah 15 tahun sekolah. Mudah bukan? Di kala rakan-rakan sebaya aku terpaksa bersaing sesama mereka dan pelajar tingkatan tiga, tempat aku sudah terjamin dalam pasukan sekolah. Secara automatik-nya matlamat aku untuk wakil sekolah telah tercapai.

Itu-lah guna-nya akal. Bukan untuk diletak-kan di lutut semata-mata.

Aku masih ingat hingga sekarang perlawanan pertama aku mewakili sekolah. Mana bisa aku lupa-kan. Kami menentang pasukan Sekolah Raja Perempuan, Ipoh. Benar, sekolah perempuan. Pasukan bawah 15 tahun kami menentang pasukan bawah 18 tahun Sekolah Raja Perempuan yang baru mendapat tempat ketiga pertandingan hoki sekolah-sekolah seluruh Malaysia tahun itu. Hingga sekarang aku tidak faham kenapa 'coach' kami mengatur 'friendly game' menentang pasukan sekolah tersebut. Aku suspek beliau mahu lihat daya fokus kami di sepanjang perlawanan terbabit. Ini kerana rata-rata antara kami gagal memberi sepenuh perhatian pada bola dan kayu hoki. Kebanyak-kan hanya bertumpu pada skirt pemain lawan. Otak pula hanya sibuk memikir-kan bagaimana cara mahu menjatuh-kan badan bersama pihak lawan, bukan mahu menjaring-kan gol. Kuning sungguh pemikiran mereka ini.

Kami tewas 3-0 pada perlawanan itu. Itu pon kerana aku bermain sambil memejam mata. Tidak mahu melihat peha-peha dan betis gebu serta mungil pemain lawan yang ber-skirt pendek. Takut mendapat dosa mata. Biasa-nya aku hanya melihat sekali sahaja. Kerana pandangan pertama adalah rezeki, bukan?


Bersambung.....(musik latar Nur-kasih berkumandang lagi)

Pemain Sekolah Raja Perempuan merai-kan jaringan. Saat ini 'coach' kami risau memikir-kan anak buah-nya yang mudah hilang tumpuan.
- Gambar hiasan

Tuesday, November 10, 2009

Wakil Sekolah Part I

Semasa di sekolah menengah, kami diwajibkan untuk menyertai sekurang-kurang nya satu bidang sukan. Sebagai seorang atlet yang berwibawa dan memiliki semangat kesukanan yang tinggi, aku menyahut seruan tersebut. Tambahan pula, semangat untuk bermain mewakili sekolah sungguh membara ketika itu.

Aku turun ke pemilihan untuk pasukan bola sepak. Sesuai dengan status sukan nombor satu negara, sudah pasti-lah aku memberi keutamaan kepada sukan ini. Walaupun kedudukan Malaysia dalam 'ranking' Fifa agak-agak corot, lagi bawah dari negara Maldives yang aku sendiri pun tidak tahu di mana letak-nya, tapi tak mengapa. Selagi ada bola, selagi ada padang, permainan harus diteruskan. Namun, persaingan di sini sangat sengit.

Pada mula-nya aku rasa-kan dengan pengalaman bermain untuk pasukan Mat Nor dan mewakili kampung sebelah boleh membantu aku untuk diserap masuk ke dalam pasukan sekolah, tapi aku silap. Usah-kan pasukan sekolah, jadi pembancuh air pun tidak layak. Kesemua yang hadir rata-rata pernah bermain untuk negeri atau daerah. Kasut pun pakai yang ada 'stud' besi. Patut la bola pergi jauh bila sepak. Dibanding-kan dengan aku yang hanya berkasut penguin hitam, harga sepuluh ringgit waktu itu. Memang 'glemer' kasut penguin tu zaman-zaman 90-an dulu. Jackie Chan selalu pakai waktu nak ber-kung fu.

Gagal masuk dalam 'team' bola tidak mematah-kan semangat aku. Mental kena kuat, beb. Baru boleh jadi atlet bertaraf dunia. Tapi budak-budak bola sekarang mental lemah. Kena siku sikit dengan 'player' Thailand, dah nangis. Patut la kalah memanjang. Aku mencuba pula sukan lain. Hajat dihati mahu mencuba sukan ragbi. Tapi bila teringatkan kisah seorang pemain ragbi yang lumpuh dari leher ke bawah yang aku baca dalam Mastika waktu itu, aku membatalkan niat. Aku tidak mahu menanggung risiko. Aku bersukan untuk menyihatkan badan, bukan untuk sakit.

Sekolah aku antara kuasa utama kriket negeri Perak. Malah seorang senior pernah mengajak aku menyertai pasukan kriket dan memberi jaminan untuk melatih aku hingga aku boleh mewakili negeri. Tapi aku tidak berminat. Ape ke hal main tengah-tengah hari buta, tengah panas sampai satu hari suntuk. Tido lagi bagus, lagi asyik! Kalau hujan, silap-silap kena tangguh sambung main esok. Lagipun aku hanya nak mewakili sekolah, bukan negeri. Jadi aku tidak menyertai kriket.

Dihadapan asrama tingkatan satu, ada gelanggang bola keranjang. Jadi, tanpa perlu menapak jauh-jauh, aku menyertai pasukan bola keranjang. Dengan ketinggian aku waktu itu, aku punya sedikit kelebihan untuk mewakili sekolah. Namun, aku tidak begitu menghayati permainan tersebut. Jiwa aku bukan disitu. 'Feel' itu tidak ada. Tiada 'soul', bak kata Che Guevara. Jadi untuk sepanjang tingkatan satu, aku tiada rekod mewakili sekolah.

Tapi tidak mengapa. Aku seorang yang optimis. Barangkali juga sedikit idealistik. Aku masih punya empat tahun lagi disini. Masakan dalam tempoh empat tahun, aku langsung tidak berpeluang mewakili sekolah dalam sukan? Paling busuk sekalipun, kalau agak-agak memang tak layak, aku akan sertai pasukan 'choral speaking'. Gasak-lah.

Bersambung....(musik latar lagu Nur-kasih)