Saturday, August 8, 2009

Skrip

Uhuk! Uhuk! Kenampakan sedikit debu-debu beterbangan dari blog ini. Benar, blog ini sudah sedikit berhabuk. Secara tidak disedari sudah lebih dua purnama aku tidak menulis di sini. Lama juga ya. Kenapa barangkali? Tiada masa atau tiada ilham? Aku sendiri tidak pasti.

Namun apa yang aku pasti, penghijrahan ke persekitaran baru, cukup untuk aku lebih memahami dan menghargai kehidupan ini. Dua tiga bulan ini, pelbagai mesej telah di hantar oleh sang Pencipta kepada aku. Tinggal untuk aku memikir dan menterjemah maksud-nya atau sekadar buat tidak ambil peduli dan meneruskan kehidupan dengan perkara sama. Tapi aku ambil keputusan untuk mencari maksud yang tersirat itu.

Kerana itu sebenarnya adalah skrip. Aku dan kamu, ya kamu! Yang sedang menggaru ketiak itu. Siap boleh cium pulak! Bedebah sungguh perangai. Kenapa toleh belakang? Pura-pura tak bersalah konon. Ok. Cukup. Kembali kepada jalan yang benar. Aku dan kamu sebagai pelakon di pentas dunia ini, perlu baca dan ikut skrip yang telah di beri. Baca, teliti dan fahami. Jika hanya baca dan tidak faham, bagaimana mahu ikut skrip tersebut? Bagaimana cerita ini mahu pecah panggung? Bagaimana mahu buat kutipan yang tinggi? Dalam konteks kita, kutipan untuk kita hitung dan kira di atas neraca Mizan kelak.

Dalam masa dua purnama ini, empat kematian yang membabitkan orang aku kenal berlaku secara tiba-tiba. Mati mengejut. Pertama, Michael Jackson. Ya, aku kenal dia. Aku tidak cakap aku mengenali dia secara dekat. Tapi, ya aku kenal dia. Kedua, Yasmin Ahmad. Sama seperti Michael Jackson, aku kenal dia. Tapi dia tidak pernah kenal aku. Tidak mengapa. Ketiga, sahabat aku, Afdzal. Yang ini aku kenal dia, dan dia juga kenal aku. Dan yang keempat, salah seorang bos di tempat kerja aku, Kevin. Yang ini juga seperti arwah Afdzal. Sama-sama kenal.

Pedulikan bagaimana mereka pergi. Abaikan teori-teori kematian mereka. Yang pasti, mereka semua pergi secara tiba-tiba.

Apakah kamu sudah menjangka seorang yang sedang praktis dan berlatih untuk konsert jelajah UK, tiba-tiba jatuh dan meninggal di dalam rumah?

Apakah kamu sudah menjangka seorang yang sedang membentangkan projek atau kertas kerja, tiba-tiba terduduk lalu terdiam.

Apakah kamu sudah menjangka seorang sahabat yang sering kamu bermain bola dan melepak bersama akan kemalangan hari itu?

Atau apakah kamu sudah menjangka bos yang kamu temui pada hari jumaat di pantry pejabat, membuat kelakar dan bergelak ketawa akan pergi pada keesokan hari-nya?

Aku pasti jawapan kamu tidak. Kerana kita tidak pernah tahu, bila Izrail akan datang menjemput. Aku pun tidak tahu. Barangkali Izrail sudah berada di dalam rumah aku sekarang, untuk mencabut nyawa aku selepas aku selesai menulis. Barangkali. Siapa tahu?

Lantas, apa yang sebenarnya aku mahu titipkan disini? Apa yang aku mahu sampaikan? Ya, kita tidak tahu bila noktah terakhir hidup kita. Kita juga bisa menjejaki skrip mereka yang di atas tadi. Jika ditakdirkan roh akan terpisah dari jasad sebentar lagi, adakah kita sudah bersedia?

Masing-masing punya jawapan. Masing-masing tahu tahap amalan diri masing-masing. Tidak perlu aku huraikan.

Maaf kiranya nukilan yang datang ini sedikit mengganggu setelah lama menyepi. Kerana kita sering terlupa. Atau buat-buat terlupa. Ya, aku boleh menulis sepuluh nukilan yang lucu dan enak di baca untuk kita ketawa. Aku boleh tulis sepuluh lagi nukilan sindiran kepada seseorang untuk kita tersenyum menyindir. Tapi kehidupan lebih daripada itu. Ada masa untuk kita ketawa, ada masa untuk kita duduk dan berfikir sebentar letak duduk diri kita.

Kenapa kita masih mahu terus bermain-main dengan kehidupan? Sedangkan saat ajal datang menjemput, ia tidak akan main-main? Apakah kamu mampu menangguh-kan detik keluar-nya roh kamu?

Tuhan, ampun-kan aku. Aku tahu aku tidak layak untuk syurga-Mu. Tapi aku tidak sanggup ke neraka-Mu.

Doa memohon keampunan yang sangat mudah dan ringkas yang aku masih ingat dari sekolah. Kerana maksud-nya sungguh mendalam.

4 comments:

@r3|4^2 said...

huhuhu.. akhirnya setelah sekian lama menyepi.. ada gak entry baru hehe.. x sesia aku usha :D

dalam maksud entry ko.. insaf2..

~jem~ said...

lamer nye nak tggu entry ko nie........sib baik tak sampai 9 bulan...


aku pun merasai perkara yang sama,akhir2 ini banyak betul kematian org2 yg aku kenali dan sayangi...........

Nur Mariaminul Amalina said...

x lmbt/x cpt walau sesaat.
ajal.

Anonymous said...

oit..lukis betul2 la..ni mesti dah lama x praktis..