Monday, November 16, 2009
Wakil Sekolah Part II
Aku ditempatkan di blok asrama paling jauh dari blok akademik. Nun, sayup mata memandang. Kira-nya jika aku tertinggal buku atau barang sewaktu tiba dikelas, harapan untuk aku patah kembali ke bilik dan mengambil-nya memang tidak ada. Jika aku patah kembali ke asrama, memang dua ratus peratus aku tidak akan kembali ke kelas. Begitu-lah konsikuens-nya.
Jadi, dek kerana asrama aku yang begitu menghujung dan jauh, jauh dari gelanggang bola keranjang, dewan badminton, padang bola dan segalanya. Hanya ada satu padang yang betul-betul hampir dengan asrama aku - padang hoki. Ya, padang hoki. Hanya bersebelahan asrama aku. Justeru, aku memilih menyertai pasukan hoki.
Dalam misi aku untuk mencapai matlamat mewakili sekolah, aku perlu bijak memilih posisi. Jadi aku telah memilih posisi sebagai penjaga gol. Tiada siapa yang sanggup menjadi penjaga gol hoki. Waktu itu, untuk pasukan bawah 15 tahun, hanya ada seorang penjaga gol hoki. Budak tingkatan tiga. Setelah menjalani latihan lebih kurang, agak-agak sudah reti memakai kelengkapan penjaga gol hoki yang iras-iras robocop itu, aku diserap masuk ke pasukan hoki bawah 15 tahun sekolah. Mudah bukan? Di kala rakan-rakan sebaya aku terpaksa bersaing sesama mereka dan pelajar tingkatan tiga, tempat aku sudah terjamin dalam pasukan sekolah. Secara automatik-nya matlamat aku untuk wakil sekolah telah tercapai.
Itu-lah guna-nya akal. Bukan untuk diletak-kan di lutut semata-mata.
Aku masih ingat hingga sekarang perlawanan pertama aku mewakili sekolah. Mana bisa aku lupa-kan. Kami menentang pasukan Sekolah Raja Perempuan, Ipoh. Benar, sekolah perempuan. Pasukan bawah 15 tahun kami menentang pasukan bawah 18 tahun Sekolah Raja Perempuan yang baru mendapat tempat ketiga pertandingan hoki sekolah-sekolah seluruh Malaysia tahun itu. Hingga sekarang aku tidak faham kenapa 'coach' kami mengatur 'friendly game' menentang pasukan sekolah tersebut. Aku suspek beliau mahu lihat daya fokus kami di sepanjang perlawanan terbabit. Ini kerana rata-rata antara kami gagal memberi sepenuh perhatian pada bola dan kayu hoki. Kebanyak-kan hanya bertumpu pada skirt pemain lawan. Otak pula hanya sibuk memikir-kan bagaimana cara mahu menjatuh-kan badan bersama pihak lawan, bukan mahu menjaring-kan gol. Kuning sungguh pemikiran mereka ini.
Kami tewas 3-0 pada perlawanan itu. Itu pon kerana aku bermain sambil memejam mata. Tidak mahu melihat peha-peha dan betis gebu serta mungil pemain lawan yang ber-skirt pendek. Takut mendapat dosa mata. Biasa-nya aku hanya melihat sekali sahaja. Kerana pandangan pertama adalah rezeki, bukan?
Bersambung.....(musik latar Nur-kasih berkumandang lagi)
Tuesday, November 10, 2009
Wakil Sekolah Part I
Aku turun ke pemilihan untuk pasukan bola sepak. Sesuai dengan status sukan nombor satu negara, sudah pasti-lah aku memberi keutamaan kepada sukan ini. Walaupun kedudukan Malaysia dalam 'ranking' Fifa agak-agak corot, lagi bawah dari negara Maldives yang aku sendiri pun tidak tahu di mana letak-nya, tapi tak mengapa. Selagi ada bola, selagi ada padang, permainan harus diteruskan. Namun, persaingan di sini sangat sengit.
Pada mula-nya aku rasa-kan dengan pengalaman bermain untuk pasukan Mat Nor dan mewakili kampung sebelah boleh membantu aku untuk diserap masuk ke dalam pasukan sekolah, tapi aku silap. Usah-kan pasukan sekolah, jadi pembancuh air pun tidak layak. Kesemua yang hadir rata-rata pernah bermain untuk negeri atau daerah. Kasut pun pakai yang ada 'stud' besi. Patut la bola pergi jauh bila sepak. Dibanding-kan dengan aku yang hanya berkasut penguin hitam, harga sepuluh ringgit waktu itu. Memang 'glemer' kasut penguin tu zaman-zaman 90-an dulu. Jackie Chan selalu pakai waktu nak ber-kung fu.
Gagal masuk dalam 'team' bola tidak mematah-kan semangat aku. Mental kena kuat, beb. Baru boleh jadi atlet bertaraf dunia. Tapi budak-budak bola sekarang mental lemah. Kena siku sikit dengan 'player' Thailand, dah nangis. Patut la kalah memanjang. Aku mencuba pula sukan lain. Hajat dihati mahu mencuba sukan ragbi. Tapi bila teringatkan kisah seorang pemain ragbi yang lumpuh dari leher ke bawah yang aku baca dalam Mastika waktu itu, aku membatalkan niat. Aku tidak mahu menanggung risiko. Aku bersukan untuk menyihatkan badan, bukan untuk sakit.
Sekolah aku antara kuasa utama kriket negeri Perak. Malah seorang senior pernah mengajak aku menyertai pasukan kriket dan memberi jaminan untuk melatih aku hingga aku boleh mewakili negeri. Tapi aku tidak berminat. Ape ke hal main tengah-tengah hari buta, tengah panas sampai satu hari suntuk. Tido lagi bagus, lagi asyik! Kalau hujan, silap-silap kena tangguh sambung main esok. Lagipun aku hanya nak mewakili sekolah, bukan negeri. Jadi aku tidak menyertai kriket.
Dihadapan asrama tingkatan satu, ada gelanggang bola keranjang. Jadi, tanpa perlu menapak jauh-jauh, aku menyertai pasukan bola keranjang. Dengan ketinggian aku waktu itu, aku punya sedikit kelebihan untuk mewakili sekolah. Namun, aku tidak begitu menghayati permainan tersebut. Jiwa aku bukan disitu. 'Feel' itu tidak ada. Tiada 'soul', bak kata Che Guevara. Jadi untuk sepanjang tingkatan satu, aku tiada rekod mewakili sekolah.
Tapi tidak mengapa. Aku seorang yang optimis. Barangkali juga sedikit idealistik. Aku masih punya empat tahun lagi disini. Masakan dalam tempoh empat tahun, aku langsung tidak berpeluang mewakili sekolah dalam sukan? Paling busuk sekalipun, kalau agak-agak memang tak layak, aku akan sertai pasukan 'choral speaking'. Gasak-lah.
Bersambung....(musik latar lagu Nur-kasih)
Thursday, October 15, 2009
Lepas-kan Aku
Apabila dia bertutur, dia menggerak-kan mulut, berbanding bibir-nya..
Dan aku sudah lama menunggu akan si dia. Lama aku tunggu akan-nya. Aku tidak pasti apakah aku mampu bertahan. Mampu-kah aku bertahan?
"Lepas-kan aku," kata-nya..
"Lepas-kan aku,"
Lepas-kan aku, dan aku akan mahu-kan kamu, lebih lagi..
Apabila dia mahu, dia mahukan matahari, berbanding bulan..
Apabila dia melihat, dia melihat bintang di dalam bilik-nya.
Lama aku menunggu-nya. Cukup lama aku menunggu akan si dia. Tidak pasti aku mampu bertahan. Aku tidak pasti aku mampu bertahan.
"Lepas-kan aku," kata-nya.
"Lepas-kan aku,"
Lepas-kan aku, dan aku akan...
Tuesday, September 15, 2009
R.I.P Puma Putih-ku
Perlawanan terakhir : Sehari sebelum puasa.
Gelanggang Perlawanan : Stadium kriket Kinrara
(Bukan kat dalam stadium kriket tu. Tapi kat padang kecik sebelah stadium tu. Belakang petronas Bandar Kinrara 5. Aku pun dah 'konfius' nak panggil padang bola ke, padang pasir.)
Tempoh berkhidmat : 2003-2009
Tempat dibeli : Pertama Kompleks(Beli pakai duit elaun matrikulasi tu)
Jumlah perlawanan : 467 perlawanan
Jumlah jaringan : 286 gol.
Jumlah ke kedai kasut : 2 kali. Sekali jahit tapak, sekali jahit depan.
Kejayaan peribadi bersama Puma Putih ini :
- mewakili Malaysia menentang pasukan India sewaktu di Mysore, India (banyak-banyak 'game', kitorang menang dua kali je kot. Hampeh!)
- mewakili pasukan bolasepak Infosys menentang Kolej Kejuruteraan Mysore(Satu-satunya pemain import dalam pasukan. Merasa jugak aku jadi 'player import'. Walaupun tak dibayar gaji.)
- membantu fakulti meraih tempat kedua dalam liga antara fakulti tahun 2006.
- membantu kampung sebelah mara ke suku akhir kejohanan bola sepak 8 sebelah anjuran Pemuda Pas. Kalah sebab kenyang makan nasik minyak. Rujuk disini.
- berjaya meninggalkan parut 'stud' di betis Mat Nor sewaktu latihan sebelum menentang pasukan pejabat Risda.
- banyak membantu aku dalam menghasilkan sepakan-sepakan lencong jurus ala-Ronaldinho zaman dia tengah top dulu.
- meningkatkan kepantasan larian dalam mengejar bola seperti Samuel Eto'o dalam game Pro Evolution Soccer 2009.
- menyemarak-kan aroma bau dekat rak kasut rumah. Tambah-tambah kalau baru lepas main bola waktu hujan. Lagi kaw bau dia. Betul-betul haw-liaw!
- kejayaan paling berharga, mendapat ramai kenalan di atas padang. Aku pun dah tak ingat berapa banyak padang aku main bersama Puma Putih ni. Dari padang-padang kampung kat Dungun, ke Dataran Sejarah Ayer Keroh, padang dekat MSN Setiawangsa dan banyk lagi-lah.
Jika ada sesiapa yang ingin membeli untuk dijadikan barang kenang-kenangan, atau hadiah kepada kekasih sempena Aidilfitri yang bakal menjelang tiba, sila hubungi saya seperti alamat e-mail di atas. Harga boleh runding. Harga promosi sempena nak raya. Takda hal. 'Rare item' ni.
Tuesday, September 8, 2009
H1N1
Dulu sebelum mula berblogging, aku sering mengikuti tulisan-tulisan penulis blog yang pada aku hebat dan mahir menulis. Setiap nukilan terbaru pasti akan aku baca. Tapi satu demi satu mereka mulai diam dan beku. Seperti keputusan ilham untuk terus menulis. Nukilan-nukilan yang terhasil selepas itu juga tidak sehangat atau setajam nukilan terdahulu.
Apakah mereka mulai kekeringan idea? Atau mulai bosan? Atau ada komitmen lain yang menghalang untuk terus berkarya?
Aku juga kini meniti titian perjalanan yang sama barangkali. Jujur-nya, kebanyakkan nukilan aku, ilham-nya datang daripada lukisan. Kitaran-nya adalah seperti begini :
i - Bosan: Pertama sekali, saat itu aku sedang bosan. Bosan kerana tidak ada kerja. Atau kerapkali juga ada kerja, tapi aku tiada 'mood' untuk menyelesaikan-nya. Aku pasti kalian juga pernah berasa begitu. Tambah-tambah jika kerja itu tidak begitu 'urgent'. (Apa makna 'urgent' dalam BM?)
ii - Lorek: Tangan aku mulai rasa gatal-gatal. Terus aku memegang tetikus dan mulai menarik perlahan-lahan untuk aku lukis-kan sesuatu. Ilham lakaran yang terhasil itu biasa-nya datang secara spontan. Ada juga kadang-kadang lain ilham yang datang, tapi lain hasil lakaran-nya. Itu perkara biasa.
iii - Coret: Di ulang, CORET. Bukan CARUT. Sila besarkan anak mata anda. Aku mula mencoret sesuatu berdasarkan lukisan yang terhasil. Dua tiga ayat, membawa kepada baris, membawa kepada perenggan. Dan akhir sekali terhasil lah coretan atau sebuah nukilan.
Tapi itu kebanyak-kan nya. Seringkali juga aku menulis tanpa apa-apa lukisan. Biasa-nya berdasarkan pemerhatian sekeliling atau pengalaman aku dan rakan-rakan.
Walau-bagaimanapun, titik permulaan kepada segala benda adalah B.O.S.A.N. Benar, aku menulis ketika bosan atau marah atau rasa seperti ingin lepaskan sesuatu. Mungkin hari-hari sekarang aku tidak ada rasa marah kepada sesiapa. Atau aku sudah mual dengan politik negara. Atau aku terlalu letih dengan kerja. Segala macam kemungkinan. Biar aku sahaja yang tahu. Aku sendiri pon sudah jarang mengikuti blog rakan-rakan yang lain. Maaf ya, rakan-rakan. Kadang-kadang selepas membaca blog-blog lain, ilham juga bisa ke mari.
Yang pasti aku tidak tahu apa yang berlaku. Aku perlukan cahaya. Tapi bukan silau cahaya yang membutakan.
Hmm...diam tidak diam siap satu nukilan. Nampak sangat aku tengah bosan sekarang.
Thursday, August 20, 2009
Glory Glory Burnley FC!
Kira ok la. Burnley menang 1-0 je pun. Memang team Mancis ni power la. Kalau tak 'power', memang kalah banyak kan? Burnley je pon. Hehehe..kepada siapa-siapa yang rasa peminat 'team' Mancis tu, maaf la ye. Sebab aku tak ingat name penuh 'team' korang tu.

Saturday, August 8, 2009
Skrip
Namun apa yang aku pasti, penghijrahan ke persekitaran baru, cukup untuk aku lebih memahami dan menghargai kehidupan ini. Dua tiga bulan ini, pelbagai mesej telah di hantar oleh sang Pencipta kepada aku. Tinggal untuk aku memikir dan menterjemah maksud-nya atau sekadar buat tidak ambil peduli dan meneruskan kehidupan dengan perkara sama. Tapi aku ambil keputusan untuk mencari maksud yang tersirat itu.
Kerana itu sebenarnya adalah skrip. Aku dan kamu, ya kamu! Yang sedang menggaru ketiak itu. Siap boleh cium pulak! Bedebah sungguh perangai. Kenapa toleh belakang? Pura-pura tak bersalah konon. Ok. Cukup. Kembali kepada jalan yang benar. Aku dan kamu sebagai pelakon di pentas dunia ini, perlu baca dan ikut skrip yang telah di beri. Baca, teliti dan fahami. Jika hanya baca dan tidak faham, bagaimana mahu ikut skrip tersebut? Bagaimana cerita ini mahu pecah panggung? Bagaimana mahu buat kutipan yang tinggi? Dalam konteks kita, kutipan untuk kita hitung dan kira di atas neraca Mizan kelak.
Dalam masa dua purnama ini, empat kematian yang membabitkan orang aku kenal berlaku secara tiba-tiba. Mati mengejut. Pertama, Michael Jackson. Ya, aku kenal dia. Aku tidak cakap aku mengenali dia secara dekat. Tapi, ya aku kenal dia. Kedua, Yasmin Ahmad. Sama seperti Michael Jackson, aku kenal dia. Tapi dia tidak pernah kenal aku. Tidak mengapa. Ketiga, sahabat aku, Afdzal. Yang ini aku kenal dia, dan dia juga kenal aku. Dan yang keempat, salah seorang bos di tempat kerja aku, Kevin. Yang ini juga seperti arwah Afdzal. Sama-sama kenal.
Pedulikan bagaimana mereka pergi. Abaikan teori-teori kematian mereka. Yang pasti, mereka semua pergi secara tiba-tiba.
Apakah kamu sudah menjangka seorang yang sedang membentangkan projek atau kertas kerja, tiba-tiba terduduk lalu terdiam.
Apakah kamu sudah menjangka seorang sahabat yang sering kamu bermain bola dan melepak bersama akan kemalangan hari itu?
Atau apakah kamu sudah menjangka bos yang kamu temui pada hari jumaat di pantry pejabat, membuat kelakar dan bergelak ketawa akan pergi pada keesokan hari-nya?
Aku pasti jawapan kamu tidak. Kerana kita tidak pernah tahu, bila Izrail akan datang menjemput. Aku pun tidak tahu. Barangkali Izrail sudah berada di dalam rumah aku sekarang, untuk mencabut nyawa aku selepas aku selesai menulis. Barangkali. Siapa tahu?
Lantas, apa yang sebenarnya aku mahu titipkan disini? Apa yang aku mahu sampaikan? Ya, kita tidak tahu bila noktah terakhir hidup kita. Kita juga bisa menjejaki skrip mereka yang di atas tadi. Jika ditakdirkan roh akan terpisah dari jasad sebentar lagi, adakah kita sudah bersedia?
Masing-masing punya jawapan. Masing-masing tahu tahap amalan diri masing-masing. Tidak perlu aku huraikan.
Maaf kiranya nukilan yang datang ini sedikit mengganggu setelah lama menyepi. Kerana kita sering terlupa. Atau buat-buat terlupa. Ya, aku boleh menulis sepuluh nukilan yang lucu dan enak di baca untuk kita ketawa. Aku boleh tulis sepuluh lagi nukilan sindiran kepada seseorang untuk kita tersenyum menyindir. Tapi kehidupan lebih daripada itu. Ada masa untuk kita ketawa, ada masa untuk kita duduk dan berfikir sebentar letak duduk diri kita.
Kenapa kita masih mahu terus bermain-main dengan kehidupan? Sedangkan saat ajal datang menjemput, ia tidak akan main-main? Apakah kamu mampu menangguh-kan detik keluar-nya roh kamu?
Tuhan, ampun-kan aku. Aku tahu aku tidak layak untuk syurga-Mu. Tapi aku tidak sanggup ke neraka-Mu.
Doa memohon keampunan yang sangat mudah dan ringkas yang aku masih ingat dari sekolah. Kerana maksud-nya sungguh mendalam.
Monday, May 25, 2009
Hentian Ini
Wednesday, May 20, 2009
Biar Akal Berbicara
Kadang-kadang kita suka seseorang itu, tapi atas beberapa sebab, kita tidak bisa bersama dengan dia.
Kadang-kadang kita suka benda itu, tapi atas beberapa sebab juga, kita tidak mampu memiliki-nya.
Ya, segala yang berlaku itu bersebab. Mungkin hari ini kita tidak nampak sebab itu. Tapi percaya-lah, mungkin esok, lusa atau pada suatu hari yang mendatang, kita akan temui jawapan pada peristiwa itu.
Jadi, kurang-kan mengeluh. Aku tidak boleh kata, BERHENTI mengeluh. Kerana aku juga kadang-kala mengeluh.
Hey, aku juga manusia biasa seperti kamu, mengerti?. Yang bisa juga berasa penat serta putus asa.
Tapi setelah apa yang aku lalui selama ini, aku tahu Tuhan telah atur-kan segala-nya. Suka atau tidak, terima atau menolak, itu sudah di atur-kan. Terpulang pada kamu untuk menghadapi-nya.
Matang-lah.
Kerana kita tidak tahu tentang hari esok. Tidak salah menoleh ke belakang untuk mengatur langkah ke hadapan. Tapi usah di biar hari yang lepas membayangi kamu sampai bila-bila.
Keluar-lah dari perangkap masa itu. Benar, bercakap memang senang. Aku juga pernah terperangkap dalam masa lalu. Tapi aku sedar, sampai bila? Jadi aku sekadar berkongsi, sebenar-nya terpulang pada kita. Kita yang membuat keputusan untuk keluar atau terus terperangkap dalam ruang masa itu.
Monday, May 11, 2009
Wednesday, May 6, 2009
Kisah Zahid
Namun berbeza sekali pada hari ini. Selesai sahaja makan tengahari atau dalam loghat Kuala Pilah-nya, 'lunch' Zahid terus bergegas ke kelas. Semangat yang berkobar-kobar untuk menjadi pelajar terbaik sekolah tahun ini menjadi azimat dan pembakar sifat kemalasan yang selama ini membaluti diri Zahid.
Langkah-langkah penuh keazaman di atur Zahid menuju ke kelas. Biar di panah terik mentari, namun sedikit pun tidak menggugat usaha murni beliau. Di hadapan beliau, kira-kira 200 meter terpacak seorang warden bertugas hari itu. Cikgu Kamarudin nama-nya. Merangkap jurulatih ragbi sekolah. Garang dan bengis orang-nya. Besar dan kasar tangan-nya. Kalau beliau ajak bergusti lengan pun, kena fikir dua tiga juga-lah.
"Zahid! Mai sini!" laung Cikgu Kamarudin.
"Ada apa, cikgu?" sapa Zahid tersenyum mesra.
Pang!!!
Satu tamparan hinggap tepat ke pipi Zahid. Zahid terpinga-pinga. Apa salah yang telah dia laku-kan? Kenapa Cikgu Kamarudin begitu kejam kepada-nya? Di rasa-kan diri nya seperti Bawang Putih di ketika ini.
"Mana tali leher kamu? Kenapa tak pakai? Tak ada disiplin langsung!" tanya Cikgu Kamarudin. Tegas. Garang. Bersedia dengan hukuman kedua. Kali ini dengan rotan panjang di tangan-nya.
"Tapi cikgu, 'tie' wajib pakai masa waktu sekolah sahaja. Kelas persediaan petang tak wajib pakai. Datang pakai baju sekolah je. Tak ada 'tie', " ujar Zahid perlahan. Menahan rasa sebak di hati kerana di kasari sebegitu rupa.
"Owh. Ya tak ya juga. Cikgu lupa. Takpe lah. Kamu boleh masuk kelas sekarang," ujar Cikgu Kamarudin tersipu-sipu. Perlahan-lahan rotan panjang tadi disembunyi-kan dan bergegas pergi. Berpura-pura masuk ke tandas.
Dan Zahid pada hari itu datang ke kelas persediaan petang dengan semangat yang luntur bersama hadiah istimewa daripada Cikgu Kamarudin. Hanya carutan-carutan halus kedengaran selepas itu di dalam kelas di sambut dengan dekahan ketawa rakan-rakan yang langsung tidak bersimpati.
Tuesday, May 5, 2009
Gelanggang Di Tepi Pantai Itu
Gelanggang bola sepak pantai yang dulu meriah, sampai nak main pun berebut-rebut, siap gaduh-gaduh, bermasam muka apa semua tapi sekarang sudah lengang. Apa hal? Betul-lah budak-budak sekarang dah tak suka beriadah petang-petang ni. Nak harap-kan golongan jejaka berusia seperi Kamal, Pajeri, Along dan generasi seangkatan, diorang macam dah bersara dari arena menyepak bola atas pasir pantai ni. Golongan generasi baya-baya aku pulak ramai kerja dan belajar kat luar. Harap budak-budak baru ni lah. Tapi ramai yang merempit dari yang merembat bola. Apadaa.
Bersama dengan dua tiga kerat teman generasi aku yang masih cinta-kan keamanan dan memiliki semangat kesukanan yang tinggi, masuk ke gelanggang. Tapi bukan bola sepak pantai. Bola tampar. Tampar bola tah kemana, banyak guling atas pasir daripada 'spike' bola. Takpe, pasir-pasir halus ini tidak akan mengasari kulit-kulit halus mulus kamu.
Pantai Teluk Lipat masih seperti dulu. Masih meriah dengan manusia. Di seberang benteng sana, berpuluh-puluh kaki pancing dengan kesabaran dan harapan menggunung mereka. Sambil di tonton oleh mereka di dereten warung dan kedai makan bersama keropok lekor dan air kelapa muda. Itu belum campur dengan budak-budak yang tengah main layang-layang, lepak-lepak. Peh, macam kat fun-fair ramai-nya orang.
Bosan dah menampar bola. Dah la main empat orang je. Dua sebelah. Main takraw pun tiga sebelah. Tak boleh blah macam ni. Air laut nampak cantik. Biru dan jernih. Ya. Menggamit kami untuk turun ke situ.
Dan sedar-sedar aku dah kat dalam air. Benar, laut ini masih jernih dan masin air-nya.
Friday, April 24, 2009
Monolog Anggota Badan
Kaki juga seakan malas untuk bergerak. Lenguh kata-nya. Otak menerima pelbagai isyarat berbeza dari anggota badan yang berbeza. Otak semakin buntu. Perlu bertindak adil dalam hal sebegini. Biar keputusan bisa disambut baik oleh anggota yang lain.
Perut hantar isyarat lapar, mata mahu tonton televisi, kaki sudah lenguh tidak mahu melangkah. Setakat ini hanya tangan, telinga, mulut dan buah pinggang mengambil sikap berkecuali.
Otak pun sudah pening. Susah juga menjadi otak, ni. Nasib baik aku tak jadi otak. Kata hidung.
Diam, diam, diam.
Baik, otak sudah bermuktamad. Tidor sahaja.
Mata terkedu. Mulut terdiam. Kaki bersorak. Perut merajuk.
Shut down~
Monday, April 13, 2009
Nestum Habis
Kebosanan. Baru terima berita dari tanah India. Ya, syarikat ini sudah di ambil alih. Secara automatik-nya aku sudah bertukar syarikat. Tapi esok belum pasti. Entah apa yang boleh terjadi.
Haus.
Aku ke pantry. Di fikiran, terbayang campuran nestum dan milo yang hangat. Mampu memanis-kan anak tekak dan mengalas perut.
Kecewa.
Kehabisan nestum dan milo. Berputar-putar memerhati. bancuh sahaja apa yang ada. Nescafe dan susu nespray. Eh, bukan sepatut-nya creamer ke? Tidak mengapa. Teguk sahaja. Hujan di luar masih belum mahu berhenti.
Wei, siapa mahu main fussball??
P/s : Aku sedang mencuba proxy baru. Melihat adakah mampu aku bernukilan kembali.
Sunday, April 5, 2009
Burung, Kopi dan Matahari
Tuhan, aku mahu-kan tidur yang aman. Agar bisa aku bangkit dan menikmati saat terbit-nya mentari pagi. Aku tidak mahu lagi terjaga dan tersentak dari lena-ku di malam hari. Melayan jiwa yang tidak tenteram akhir-akhir ini. Namun, untuk mengeluh bukan-lah jalan penyelesaian yang terbaik.
Agak lama tidak menulis. Agak lama tidak melukis. Kepada 'followers', mohon kemaafan. Maaf juga kepada rakan-rakan bloggers yang lain. Tidak punya kesempatan untuk membaca nukilan kalian. Bukan tidak mahu, tapi ruang dan medium agak keterbatasan sekarang. Mungkin aku perlu mencari ruang baru. Medium baru. Ya, dan juga ilham baru.
Aku agak sibuk sekarang. Berniaga kecil-kecilan. Cari duit sampingan. Bukan-lah kali pertama berniaga. Tapi kali ini aku mahu lebih serius. Kerana apa kamu bertanya? Kerana daripada sepuluh cabang rezeki, sembilan adalah dari berniaga. Itu sahaja.
Apa yang penting, sekurang-kurang-nya aku sibuk. Sibuk dari memikir-kan persoalan dan rasa yang hadir tanpa aku pinta. Tapi kadang-kadang, aku tidak boleh berbuat apa-apa kalau ia hadir. Memang serabut jadi-nya hotak aku ini.
Sigh~
Cukup-lah barangkali. Aku mahu tidur. Liverpool pun dah menang lagi. Tapi Benayoun si Yahudi celaka itu juga yang menyumbat gol. Punya-lah ramai pemain, kenapa dia jugak yang jadi scorer? Kalau mana-mana pemain Fulham sumbat gol sendiri pun, aku tidak kisah.
Sudah-sudah lah. Pergi tidur. Kelak semakin banyak aku mengarut. Aku tidak pasti bila lagi boleh menulis. Sekadar berdoa dan berharap, semua-nya akan baik kelak.
Selamat malam. Tidur erat. Mimpi yang manis. (Aneh bunyi-nya direct translation sebegini)
Huh, sudah pagi rupa-nya. Selamat pagi!
Friday, March 27, 2009
Mentaliti Masyarakat Maju

Tuesday, March 24, 2009
Be Inspired
Cuma di sini, gambar di atas memapar-kan gambar seorang lelaki yang entah dari ceruk mana datang-nya tiba-tiba menjadi presiden kuasa besar dunia. Dan aku percaya jika gambar ini di diperlihat-kan pada aku 10 tahun dahulu, aku tidak rasa atau fikir apa-apa pun.
Tapi hari ini, gambar ini bisa membuat-kan aku berfikir 2 kali. Okay, jika tidak 2 kali pun, membuat-kan aku berfikir sejenak. Lihat pada pernyataan-nya. Jika Tuhan berkata itu untuk kamu, tiada siapa yang mampu menghalang. Dan jika Tuhan berkata itu memang tertulis bukan untuk kamu, terima sahaja-lah. Kenapa mahu di pertikai-kan lagi? Dia lebih mengetahui. Lama mana pun kamu bersama dengan barang itu, jika ia bukan milik kamu, bila-bila masa boleh di ambil semula.
Yakin-kan lah itu. Pasti ada sebab-nya jadi begitu.
Tuhan makbul-kan doa kamu melalui 3 cara.
i - Dia makbul-kan semua permintaan kamu itu.
ii - Dia tangguh-kan permintaan kamu buat seketika, dan kabul-kan pada suatu masa lain yang sesuai.
iii - Dia tidak makbul-kan doa kamu itu, tetapi di ganti-kan dengan sesuatu yang lebih baik.
Friday, March 20, 2009
Mati Yang Benar
“Apa yang terjadi? Apa-kah aku sudah mati?” getus hati Baharum.
Terlihat oleh-nya rakan-rakan yang hadir. Sama-sama menyembahyang-kan jenazah kepada-nya. Betapa sedih hati Baharum. Tidak tersangka dia sudah terbujur kaku begini. Banyak lagi perkara yang masih belum di laksana-kan. Masih belum puas hidup di dunia.
“Maaf-kan aku, Din. Halal-kan makan minum aku,” kata Baharum pada Din. Rakan baik-nya sedari kecil. Sama-sama satu sekolah. Sama-sama bermain takraw. Tetapi Din masih tekun membaca Yasin. Seolah tidak mendengar luahan kata Baharum tadi.
Saat ketika wajah Baharum hendak di tutup dan di ikat dengan kain kafan, seorang demi seorang anak-anak dan isteri-nya datang menguncup dahi. Betapa pilu-nya saat itu Baharum rasa-kan. Bagai hendak menitik air mata-nya, tapi kering tiada setitis pun mengalir keluar.
Tatkala penduduk kampung mula mengusung jenazah-nya di dalam keranda, melangkah keluar dari rumah-nya, Baharum dapat melihat si isteri-nya sedang memeluk anak bongsu mereka. Anak kecil yang masih belum puas bermanja dengan-nya. Menangis teresak-esak melihat pemergian ayah-nya. Seakan tidak percaya sudah tiada. Begitu juga Baharum. Terbayang oleh-nya dosa-dosa silam. Dosa-dosa yang tidak sempat di taubati.
“Tolong. Tolong jangan bawa aku pergi dari rumah aku. Siapa yang akan menjaga isteri-ku?Siapa yang akan menjaga anak-anakku? Masih banyak lagi kebahagiaan yang belum aku penuhi pada mereka,” rayu Baharum pada orang-orang yang mengusung keranda. Namun orang-orang di situ langsung tidak mengendah-kan nya. Seolah tidak mendengar rayuan Baharum. Perlahan-lahan mereka beransur berlalu dari rumah-nya.
“Oh, Tuhan, sesungguh-nya aku tidak bersedia untuk ini. Aku tidak bersedia lagi untuk mati. Banyak dosa aku pada-Mu. Masih belum cukup bekalan yang harus kubawa. Tolong-lah beri aku satu lagi peluang untuk aku, mengumpul seberapa banyak amalan bertemu-Mu. Akan aku guna sepenuh-nya hayat aku itu, ya Tuhan. Sesungguh-nya aku takut pada seksa-Mu,” tangis Baharum.
Di tanah perkuburan, Baharum lihat sebuah liang telah tersedia menanti-nya. Sekumpulan rakan-rakan nya perlahan-lahan menurun-kan jenazah-nya ke dalam liang lahad. Rasa sedih Baharum sudah memuncak tidak tertahan lagi. Pelbagai rasa berkecamuk di jiwa-nya. Sedih, pilu, menyesal dan sebagai-nya saling mengolah menerbit-kan rasa gentar dan takut bakal di tinggal-kan bersendirian di dalam lubang gelap pekat sebentar lagi. Apa yang harus dia jawab tatkala berdepan Munkar dan Nankir nanti?
Dua orang sudah bersedia untuk mengambus tanah menutupi liang lahad Baharum. Tanah merah itu mula di kaut, di bawa ke tengah lubang, dan di lepas-kan. Sebaik tepat tanah-tanah itu jatuh ke muka Baharum, secara tiba-tiba Baharum tersedar. Di lihat diri-nya di atas katil. Di sebelah-nya si isteri masih lena beradu. Peluh memercik membasahi seluruh wajah Baharum. Nyata Baharum bermimpi. Mimpi yang sungguh mengesan-kan. Hanya lafaz istighfar yang mampu di ucap-kan Baharum beberapa kali.
Esok-nya Baharum bertemu seorang sufi, mencerita-kan perihal mimpi-nya itu. Sufi itu diam sebentar, sebelum membuka bicara.
“Sungguh beruntung saudara kerana telah di beri peluang kedua. Ketahui-lah, bahawa pengalaman mimpi saudara malam tadi, adalah pengalaman sebenar orang yang telah mati. Dan tatkala saudara di masukkan ke dalam liang lahad, ketika tanah itu jatuh ke wajah saudara, jika waktu itu saudara masih tidak tersedar dari mimpi, bermakna ketika itu saudara benar-benar sudah mati,”
Saturday, March 14, 2009
Topeng
Betapa penat-nya melakar senyuman di bibir, sedang di hati menangis tersedu.
Betapa lenguh-nya rahang berdekah ketawa bersama teman, sedang di jiwa kosong kesepian.
Betapa letih-nya berpura bahagia, sedang di raga berduka cita, tiada siapa yang tahu.
Masih ada-kah yang sudi berbicara di luar sana? Berdoa dan berharap sebagaimana Yunus di dalam telanan si paus? Berfikir dan merenung sebagaimana Khaidir mengajar si Musa?
Lupa-kah kamu pada kisah kahfi dari gua? Yang bisa terlena ratusan tahun di sana. Apa kamu tidak yakin pada kuasa-Nya? Jika Dia mampu membawa gerombolan awan mendung itu kepada kamu, lantas tidak kemustahilan juga Dia mampu mengalih-kan-nya.
Benar, dunia ini tidak pernah adil pada kamu. Tidak pernah kasihan-kan kamu. Hey, bukan-kah itu tujuan kamu di hidup-kan? Jika di sini penuh dengan kebahagiaan dan kenikmatan, itu adalah syorga nama-nya!
Mana warna kehidupan andai semua-nya manis belaka? Tidak semua yang manis itu elok, dan tidak pula yang pahit itu sakit. Jika hanya manis yang kamu mahu-kan, kencing manis-lah jawapan-nya. Suka pada kencing manis?
Bangun dan sedar-lah. Keropek sahaja topeng kegembiraan itu. Tidak perlu lagi berpura-pura gembira. Kamu mampu tertawa sendiri. Cinta bukan untuk di tangisi. Cinta untuk di nikmati. Andai cinta datang bersama derita, lebih baik tidak usah bercinta.
Tuesday, March 10, 2009
Pupus
Pasti ada antara kamu yang menyangka nukilan kali ini tentang cinta yang bertepuk sebelah tangan. Kerana kumpulan muzik dari Indonesia, Dewa pernah menulis lagu yang berjudul 'Pupus'. Jika di hayati lirik-nya adalah tentang seorang pria yang menyukai seorang dewi, malang-nya cinta itu tidak terbalas.
Bukan. Bukan pasal itu. Mula-nya aku sekadar melorek-lorek tetikus. Dalam keadaan separa sedar, tiba-tiba terhasil lukisan di atas. Lantas aku tersedar dari lamunan dan bercadang mahu meletak-kannya di sini. Baru sahaja aku menaik-muat lukisan ini, dan berkira-kira mahu menulis sesuatu, terpacul di sisi aku muka yang sangat aku kenali. Yang agak jarang sekali datang melawat kubikel aku yang tinggi seperti dedalu di tengah-tengah lautan lalang. Benar, wajah encik Bos.
Di pendek-kan cerita, aku kantoi dengan beliau-lah. Macam biasa, soalan yang akan keluar dari mulut-nya, "What is this?".
Dalam bahasa ibunda aku, "Pebenda nih?".
Kalau terjemah dalam bahasa German pula, "Grundlegende Wörter?".
Ok, aku tipu. Aku tidak tahu berbahasa German. Ayat di atas entah dari mana aku petik dan tampal sahaja. Siapa suruh percaya?
Hmm..agak melalut nampak-nya. Berbalik kepada cerita asal. Selepas di terjah secara tiba-tiba, aku tidak tahu apa yang perlu di jawab. Aku sekadar mengata-kan aku sedang melaku-kan kajian dan analisa faktor sebenar kepupusan dinosaur.
Mujur hari ini 'mood' beliau agak baik. Maklum sahaja, kami baru menghadiah-kan kek hari lahir di iringi nyanyian suara-suara sumbang budak-budak department aku. Beliau hanya mengangguk. Tidak tahu-lah apa yang beliau fikir-kan. Mungkin dalam hati beliau berkata, " Apa jadah study pasal dinosaur? Bila masa department ni jadi pusat R&D dinosaur?" Atau apa-apa sahaja. Aku tidak tahu.
Sigh.. (mengeluh).
Siot sungguh. Hilang segala idea dan fakta untuk aku berbicara tentang haiwan purba ini. Sudah. Aku mahu pulang. Ada client menanti. Mungkin lain kali sahaja aku menulis pasal dinosaur.
Chiow!
Thursday, March 5, 2009
Fly
‘Fly’ adalah acara wajib budak-budak sekolah aku terutama pada malam-malam minggu. Namun bagi yang lebih ekstrem, tidak perlu menunggu hujung minggu untuk melaksana-kan acara ini. Setiap pelajar sekolah aku sekurang-kurang nya pernah-lah sekali terlibat dalam aktiviti ini. (Tapi aku rasa semua-nya lebih dari sekali). Mana-mana yang tidak pernah ‘fly’, memang akan di pandang serong oleh komuniti. Seolah-olah macam pesakit kusta pun ada. Bak kata Pipiyapong, tak ‘true’.Apa-kejadah duduk hostel tapi tak pernah ‘fly’? Macam tu la lebih kurang tanggapan masyarakat sekolah aku. Di tambah pula lokasi sekolah aku di tengah-tengah bandar. Fuh! Memang syorga. Sebab itu aku rasa dari senakal-nakal budak hingga-lah ke skema-skema nya, pasti buat aktiviti ni.
Antara sebab-sebab yang menyumbang kepada berlaku-nya aktiviti ini di sekolah aku adalah :
i - Lapar. Tidak dapat di nafi-kan ini adalah faktor utama. Kalau tengah-tengah malam lapar, dewan makan dan kantin dah tutup, larat ke asyik nak telan mee segera sahaja? Sekali sekala mahu juga merasa nasi goreng atau kuew teow kerang di benteng.(Nama medan selera di kawasan perumahan belakang sekolah)
ii -Games. Segala jenis permainan berkomputer. Waktu itu yang popular dan sering di mainkan adalah Championship Manager, Counter Strike dan Final Fantasy. Main kuda pun boleh di kategori-kan permainan berkomputer. (Aku pelik kenapa ia dipanggil main kuda. Walhal dalam paparan skrin permainan itu, bukan setakat kuda sahaja yang berlumba, ada juga arnab, anjing, burung unta dan haiwan-haiwan lain. Kenapa hanya kuda yang mendapat nama? Sungguh tidak adil)
iii - Arahan Senior. Situasi ini hanya melibat-kan pelajar junior sahaja. Kebiasaan-nya pelajar senior akan menyuruh adik-adik kesayangan untuk fly sebentar beli-kan makanan atau rokok. Yelah, abang senior nak SPM. Nak 'study'. Tapi part yang paling bedebah sekali bila-mana pelajar senior menghulur-kan duit syiling dua puluh sen beserta dialog ini, " Kau beli-kan aku nasik lemak lauk ayam, air teh ais dengan Dunhill 20. Duit lebih kau simpan,". Faham-faham lah tu. Taktik mengepau cara halus nama-nya. Nak melawan kang, mau kena belasah seround-dua. Tapi aku tak pernah buat kat junior aku dulu. Betul! (Sambil mengangkat tangan kanan dan menyilang-kan dua jari di belakang badan)
iv - Sangap. Ini lebih kepada mangsa keadaan. Kau tidak berniat pun mahu fly malam itu. Tapi dek kerana malam itu malam minggu, dan kamu telah merayau ke setiap asrama hanya untuk mendapati kesemua blok-blok usang itu kosong, maka kamu pun turut sama fly. Kadang-kadang tu, tak ada duit pun dalam poket. Tapi sekadar keluar menikmati angin malam. Lepak-lepak tengok member-member main games atau snooker. Untung-untung kalau mereka menang, dapat belanja minum. Penyesalan hanya akan tiba apabila pelompatan keluar pagar kamu malam itu berjaya diberkas warden. Memang tidak berbaloi. "Tau camni, baik aku tidur je kat dorm," adalah monolog-monolog biasa yang akan berbisik halus selepas itu.
v - Wayang. Aktiviti ni bukan-lah aktiviti utama. Hanya sebilangan kecil sahaja yang terlibat dalam aktiviti ni. Biasa-nya penggemar-penggemar filem. Apabila pulang dari menonton tayangan tengah-malam, kamu boleh mendengar kritikan-kritikan mereka tentang filem yang baru selesai di tonton tadi. Kritik berdegar-degar. Biasa-nya golongan ini juga yang banyak menjaya-kan pementasan drama di sekolah. Cita-cita nak jadi macam Spielberg.
Sunday, March 1, 2009
Pagi Ahad Yang Sempurna
Tanpa telefon bimbit. Tanpa jam tangan.
Kerusi empat kaki, tanpa penyandar. Meja bulat kecil. Warung bawah pohon. Cahaya matahari tidak terlalu panas, tidak terlalu silau. Sekawan burung sedang terbang.
Cukup. Tidak mahu lebih dari itu. Nikmati-nya perlahan-lahan.
Thursday, February 26, 2009
Terima Kasih, Bulan
Tolong-lah jawab, wahai bulan.
Bawa-lah aku terbang ke sana. Walau aku tahu tiada apa pada kamu. Hanya lohong-lohong sisa hempasan tahi bintang di sana sini. Tapi kamu masih setia menerangi malam aku.
Dan di saat aku merenung pada-mu. Aku juga mengharap kau begitu. Bukan sekadar renungan biasa. Tapi punya seribu satu makna. Biar-kan kita dengan tafsiran masing-masing. Aku punya malam yang panjang untuk duduk menterjemah renungan kamu itu. Harap-nya aku tidak tersilap baca.
Oh, aku rindu-kan bulan.
Dan aku kecewa saat kamu bersembunyi di balik awan-awan itu. Aku gundah. Aku gulana mencari kamu. Keluar-lah dan melayani aku. Terasa petikan-petikan halus tali gitar seolah-olah cuba membujuk aku.
Aku buat tidak endah puisi-puisi kamu. Berpura-pura tiada apa yang berlaku. Walhal kamu tahu aku sedang mencari bulan aku. Mana dia, oh mana?
Keluar-lah wahai bulan. Bawa bersama Twinkle si bintang kecil itu. Aku buta. Aku lemas tanpa cahaya kamu. Aku hanya mahu duduk di bawah sini. Merenung kamu dan tersenyum. Damai sendiri.
Kerana aku tahu, aku dan dia berkongsi bulan yang sama. Kerana aku tahu dia juga memerhati bulan yang sama.
Aku tahu dia mengerti.
Monday, February 23, 2009
Monalisa II
Aku akan bukti-kan sesuatu kali ini! Tekad awal aku. Tangan mula menarik-narik tetikus hitam tanpa gigi itu, memerhati dengan teliti lukisan rujukan agar bisa aku lorek, kabur atau hembus-kan sesempurna yang mungkin. Bahagian yang perlu di beri keutamaan pasti-nya pada aspek senyuman. Disitu-lah tersimpan kekuatan dan rahsia wanita ini, yang hingga ke hari ini hanya Leonardo sahaja yang tahu. Padan-lah di beri nama 'Senyuman Monalisa'.
Apa-kah hasil lakaran aku kali ini, akan menjadi satu titik pusingan (turning point?) dalam hidup aku? Satu anjakan untuk aku menghasil-kan karya-karya yang boleh di angkat menjadi hasil seni ulung atau rujukan generasi mendatang? Oh, mungkin aku sedikit ambisius. Tapi tidak mengapa, pasak impian kamu dengan angan-angan dahulu.
Ku sendat-kan halwa telinga dengar mendengar lagu Yuna. Unik suara si gadis ini. Cukup untuk menenang-kan dan menghilang-kan sedikit rasa gementar aku dalam menghasil-kan karya agung kali ini. Berdetik-detik waktu terselang. Tidak di sedari, karya itu sudah terhasil. Dengan sedikit sentuhan terakhir, aku merenung kembali wajah gadis misteri itu. Hmm....Aku serah-kan pada kalian untuk menilai.
Belum tiba masa untuk di angkat menjadi karya agung lagi, barangkali. Walaubagaimanapun, biar-lah senyuman gadis ini menjadi rahsia. Cukup hanya aku yang tahu.
Monday, February 16, 2009
Simpang Hidup
Thursday, February 12, 2009
Gambar Seksi
Cukup. Aku tidak mahu membiar-kan khayal imaginasi aku terus terbang jauh. Hanya membuat-kan aku menelan air liur dan jadi tidak betah duduk di kubikel seperti penjara ini.
Teringat kepada tag-tag dari beberapa rakan yang sengaja aku abai-kan. Pura-pura tidak terbaca entry-entry mereka yang mengetag aku sedikit waktu dahulu. Antara yang aku teringat adalah tag daripada Fida, Im, Feresa,Mas dan beberapa yang lain. Maaf jika aku tidak menulis nama kalian yang lain. Aku sudah lupa. Maaf juga kerana mengabai-kan tag kalian. Bukan kerana tidak menghargai kalian. Bukan juga kerana malas. (Ok, tidak baik tipu. Memang aku malas nak jawab tag-tag itu)
Dan 2 hari lepas Encik Aghoo pula mengetag. Memandang-kan telah banyak tag yang terabai dan tag daripada Encik Aghoo ini tidak memerlu-kan aku menjawab soalan-soalan yang banyak dan panjang, jadi aku bersetuju untuk melayan tag kali ini.
Tiada syarat dan peraturan yang jelas dari beliau. Jadi aku hanya mengikut bulat-bulat dari nukilan beliau itu.
Pertama, tag ini mahu aku letak-kan gambar diri aku yang paling seksi. Baik, ini gambar aku sewaktu di tepi pantai. Encik Aghoo pasti sudah tahu aku tidak akan letak-kan gambar aku di sini. Jadi, cukup-lah gambar lakaran sebagai ganti. Pantai mana dan bila masa-nya, tidak perlu-lah aku hebah-kan.
Kedua, tag orang lain. Aku tidak mahu tag siapa-siapa. Aku mahu membasmi gejala tag-mengetag ini. Bersama kita membasmi-nya. Hanya sepuluh minit setiap minggu untuk membersih-kan persekitaran rumah dari takungan air yang boleh menyebab-kan pembiakan nyamuk aedes. Aedes pembunuh!
Wednesday, February 11, 2009
Lakaran Dari Seberang Jalan

Agak sukar sebenar-nya untuk hasil seperti ini. Jika tidak percaya, cuba-lah tarik tetikus kalian dan lakar-kan. Lihat bagaimana hasil-nya. Terima kasih kepada sang pelukis. Akhir-nya ada juga lakaran seorang wanita pada blog aku. Jika ada yang perasan, aku belum pernah menghasil-kan lakaran seorang wanita. Mungkin akan aku ikhtiar-kan di masa mendatang.
Gambar di atas adalah lakaran Monalisa. Ada iras-iras, kan? Kalau pelukis ini sedikit rajin dengan mewarna-kan ia, lagi nampak sebijik. Sekurang-kurang nya tidak lah seperti Monalisa aku dahulu yang bewarna ungu. (Bergigi kuning)
Aku kenal pelukis ini. Orang-nya bijak. Kuat berfikir. Sang kancil pun kalah dengan beliau. Beruntung kalau siapa-siapa yang dapat menjadi pasangan hidup-nya. (Ayat promosi. Kepada si pelukis, sila sedia-kan wang lebih untuk belanja saya makan tengahari)
Kesimpulan-nya, bersyukur-lah. Usah-lah mengharap-kan kesempurnaan. Kerana tiada apa yang sempurna. Dan kita tidak selalu-nya betul.Jika kita rasa kita hebat, ramai lagi di luar sana yang lebih hebat dari kita.
Jika kita rasa hidup kita susah, ramai lagi yang lebih teruk dari kita.
Jika kita rasa masalah yang kita tanggung sekarang berat, banyak lagi masalah lain yang lebih berat dari itu.
Tuesday, February 10, 2009
Cukup Laa Tu...
Banyak benar perkara-perkara yang memual-kan akhir-akhir ini. Aku sudah malas dan bosan mahu mengikuti cerita-cerita sekeliling. Seperti tiada kesudahan. Sebelah sini kata begini, sebelah sana kata begitu. Lompat sana, lompat sini. Tidak ubah seperti kanak-kanak. Lalu, apabila golongan muda tidak hormat pada mereka, di cop kurang ajar, tidak mengenang jasa, tidak patriotik. Tapi orang-orang begini-kah yang perlu di hormati? Hidu kentut aku dulu-lah!
Seperti sudah tidak ada perkara lain selain berpolitik. Apa kukuh sangat-kah ekonomi kita saat ini? Apa cukup makan-kah rakyat marhaen ketika ini? Apa banyak sangat-kah lubang-lubang kerja untuk warga tanah ini?
Kenapa tidak di fikir-kan hal-hal itu? Kenapa tidak duduk semeja cari solusi untuk perkara-perkara itu? Hatta persatuan bola sepak yang sudah sedia nazak itu pun tidak habis-habis di kepal oleh tangan-tangan ahli politik? Mahu jahanam sampai mana lagi sukan itu? Mahu tunggu hingga terkeluar dari ranking FIFA?
Sudah-sudah lah. Tidak perlu-lah gila kuasa sampai begitu sekali. Tanah ini sekarang ada kurang lebih 27 juta manusia. Tolak ahli politik, sultan-sultan, artis, 'programmer' dan budak-budak sekolah, ada ramai lagi yang tahu dan mahir dalam bidang masing-masing. Biar-kan ahli ekonomi dengan kerja mereka. Dengar kata mereka. Mereka lebih arif. Tidak usah-lah mahu tunjuk pandai.
Biar-kan ahli sukan ambil alih persatuan mereka. Mereka lebih tahu sepak terajang dunia itu. Tidak usah-lah mahu tunjuk lagak konon engkau-lah pakar segala-nya. Sepak bola pun tak betul!
Cukup-cukup lah...Tidak penat-kah?
Friday, February 6, 2009
Siti dan Karipap
Monday, February 2, 2009
Bola Itu Bulat
Namun, aku pernah-lah juga merasa wakil kampung. Itu pun kampung sebelah. Kenapa kampung sebelah? Jawapan-nya mudah sahaja. Kerana aku kena tendang dengan pasukan kampung aku sendiri. Aku memang langsung tidak berpuas hati dengan gaya kapten kampung aku waktu itu. Mat Nor nama beliau. Main bola macam nak bertinju. Pantang kaki kena usik sedikit, mula marah-marah nak bergaduh. Aku beritahu beliau, kalau tak nak kena 'tackle', pergi main ping pong lah! Terus aku di singkir-kan dari pasukan. Sama macam FAM. Langsung tak boleh kena kritik.
'Game' terakhir aku main untuk kampung aku adalah 'friendly' lawan pasukan Risda. Masa tu liga daerah dah nak bermula. Kampung aku seri 1-1 dengan Risda. Usah di tanya siapa yang menjaring-kan gol untuk pasukan kampung aku. Malas nak cerita. Nanti ada yang kata aku riak pula. Tapi, yang pasti, bukan aku yang 'score'. Lepas tu, aku kena tendang. Aku ambil keputusan untuk menggantung kasut. Merajuk. Tapi takde orang nak pujuk. Cis!
Keputusan aku untuk menggantung kasut bola itu tidak bertahan lama. Walaupun aku tidak menyertai liga kampung-kampung, tapi ada satu kejohanan bola sepak anjuran pemuda Pas akan di ada-kan (Waktu itu Terengganu di bawah pemerintahan Pas). Rakan aku dari kampung sebelah datang mengajak aku. Itu pun kerana kampung beliau tidak cukup pemain.
Memandang-kan aku tidak terikat kontrak dengan mana-mana pasukan, lantas aku bersetuju untuk menyertai pasukan kampung sebelah. Proses perpindahan dan menandatangani kontrak baru berjalan lancar. Aku masih ingat lagi kami memakai jersi kuning yang di pinjam dari Jabatan Bekalan Air dan berseluar 'track'. Ikut syarat pertandingan, kena tutup aurat. Bermain di bahagian tengah ala menyerang atau dalam bahasa taktikal-nya, 'attacking midfielder', aku tenang mengatur serangan. Segala jenis skill aku keluar-kan. 'Dribble' sana, 'dribble' sini, 'back-heel' dan segala cara 'through pass' aku buat untuk barisan penyerang. Bola rembatan aku semua lencong-lencong. Memang ala-ala Beckham-lah. Tak ada yang 'straight'. Sebab itu tak ada satu pun masuk gol.
Kami melepasi saingan peringkat kumpulan dan mara ke suku akhir. Sungguh bergaya sekali. 'Game' suku akhir di ada-kan pada waktu tengah-hari esok-nya.
'Game' pukul 2. Pukul 1 tu kami sedang melantak nasi minyak di kenduri kahwin sahabat kami. Orang dah jemput, tak baik menolak, kan. Gulai kambing, ayam masak merah dengan acar timun. Pekena pula buah tembikai dengan air sirap lepas tu. Peh, meleleh beb!
Dan hasil-nya, tahu-tahu sahaja-lah bagaimana pasukan kami bermain petang tu dengan perut masing-masing masih lagi penuh terisi dengan nasi minyak. Detik yang sukar untuk di lupa-kan. Barisan bintang kami di titik oleh barisan veteran dari kampung seberang. Pedih sekali untuk di telan. Tapi kami akur. Saat itu, aku mengerti bagaimana perasaan pemain Perancis tatkala tewas di tangan Senegal pada perlawanan pembukaan Piala Dunia 2002.
Thursday, January 29, 2009
Pemberian
Hanya yang saya mampu ucap-kan, terima kasih. Ya, terima kasih atas pemberian ini. Sudah lama saya nanti-kan khabaran dari sana.
Nota tambahan : Hampeh kepada orang yang mengganggu tidor saya semalam. Yang bersungguh mengajak saya ke Kinrara. Dan sekumpulan lagi manusia yang telah menyusahkan pekerja-pekerja di sebuah restoran mamak dengan menambah beban cucian berkali ganda dengan piring-piring kecil mereka. Tetapi kek coklat strawberi kalian sangat sedap. Terima kasih juga. Kepada yang tidak faham, abaikan nota ini. Saya menuju-kan nota ini kepada sekumpulan manusia. Hanya mereka yang faham.
Sudah, pergi buat kerja! Apa lagi terkebil-kebil di depan monitor ini?
Sunday, January 25, 2009
Halus
Thursday, January 22, 2009
Percubaan Kali Ketiga : Obama

Semua meletakkan harapan yang tinggi pada Obama. Warga US dengan harapan penyembuhan ekonomi dan penurunan peratus pengangguran-nya, dunia Islam dengan harapan perubahan persepsi dan penarikan tentera US dari Iraq dan Afghanistan serta masalah di Palestin, sementara negara-negara lain mengharapkan sedikit perubahan pada dasar luar US.
Aku? Apa harapan aku ke atas mamat ni? Secara jujur-nya, tiada. Apa yang hendak di harap-kan pada seorang presiden yang di belakang-nya adalah Yahudi? Memang aku sedikit mengagumi beliau kerana berjaya muncul sebagai orang kulit hitam pertama menjadi presiden US. Bukan senang hendak memenangi hati orang kulit putih yang memang kita tahu tebal dengan sikap ego dan serba betul mereka itu. Mungkin selepas ini, negara Uncle Sam itu akan mendabik dada mengatakan mereka sudah matang dalam politik dan demokrasi yang memilih pemimpin tanpa melihat pada warna kulit dan keturunan.
Biar-lah mereka dengan harapan palsu mereka. Aku tidak mengharap-kan apa-apa. Aku tidak boleh menyeru semua orang supaya berfikiran seperti aku. Masing-masing punya pendapat dan pandangan yang berbeza. Terpulang-lah. Tapi nasihat aku, baca dahulu sejarah panjang bangsa Yahudi.
Di bawah adalah lakaran wajah Obama. Macam biasa, guna paint. Dan macam biasa, muka senget sikit. Trademark aku. Ikut nasihat Edot, jangan lukis sebijik sama. Nanti orang cakap copy-paste pula (Ayat cover-line).
Tuesday, January 20, 2009
Hey, di Situ Aku Pernah Bermain!
Menyelusuri jalan lurus di tepi pantai dari Teluk Gadung, berhampiran UiTM membawa-lah ke kuala Sungai Dungun, sepanjang perjalanan itu hanya-lah berlatar belakang-kan lautan yang terbentang dan ombak yang menghempas pantai, pohon-pohon nyiur yang melambai serta langit yang membiru. Nun di seberang sana, Pulau Tenggol sedia menanti.
Oh, aku rindu-kan saat di mana aku mandi laut di tepi benteng pemecah ombak itu. Aku rindu-kan saat menikmati keropok lekor dan cendol di bawah pohon ketapang di tepi pantai Teluk Lipat. Aku rindu-kan suasana pasar malam hari Khamis yang meriah dengan baju-baju 'bundle' dan aneka barangan lain.
Aku rindu-kan juga tangisan sang penyu di Rantau Abang. Menunggu di malam gelap pekat melihat makhluk itu merangkak naik. Aku tidak salah-kan aksi-aksi jakun orang-orang itu. Meloncat-loncat, berbuat bising dan menunggang si penyu itu. Kerana mereka tidak pernah ketemu haiwan itu di depan mata. Tapi aku kasihan-kan Rantau Abang yang kini sepi tanpa kelibat makhluk-makhluk amfibia itu lagi. Alang-kah rugi-nya.
Berjalan di atas pasir putih pantai melihat nelayan-nelayan pulang memunggah hasil tangkapan sambil menanti terbenam-nya mentari, pasti tiada akan terluput rakaman detik itu dari kotak memori aku sampai bila-bila. Betapa masa terasa sangat perlahan tatkala aku berada di pekan ini. Seawal pagi, kehidupan begitu tenang. Tiada apa yang perlu di kejar, tiada apa yang perlu di buru.
Cukup. Biar-kan pekan ini naik perlahan-lahan. Aku bukan menentang kemajuan.
Tapi apa-lah erti kemajuan jika warga-nya asyik mengejar kebendaan.
Apa-lah erti kemajuan jika ketenangan di ganti dengan hiruk pikuk bunyi yang membingit-kan.
Apa-lah erti kemajuan jika kesegaran udara di ganti dengan asap-asap hitam yang menyesakkan.
Apa-lah erti kemajuan jika hanya keruntuhan dan kebijatan akhlak anak muda yang menyakit-kan mata terhidang.
Biar-lah begini. Biar-lah pekan ini dengan ketenangan-nya. Biar-lah pekan ini dengan detik waktu-nya sendiri yang perlahan. Kerana aku ingin kembali ke sini. Itu janji aku.
Thursday, January 15, 2009
Pesan Si Tua Itu
Monday, January 12, 2009
Tak Tak Si Botak !
- kau ada masalah ke, bro?
- kau bernazar eh?
- dapat awek baru ke?
- banyak kelemumur ni
Dan yada, yada...bermacam-macam lagi. Itu belum bertemu lagi soalan seperti 'baru keluar lokap ke?'. Soalan ini biasa-nya akan di tanya oleh sahabat yang sudah lama tidak ketemu. Apa punya soalan-lah? Ingat aku ini jahat sangat ke?
Bagi mereka yang masih baru mengenali aku, tiada apa pun sebab atau tujuan aku membotak-kan kepala. Rambut aku ketika itu sudah panjang dan berserabut. Dan aku biasa-nya akan membotak-kan kepala aku setiap tahun. Bermula dari tingkatan empat lagi. Tapi tahun lepas aku tidak berkesempatan. Oleh itu, pada petang khamis lalu, datang rasa nak ringan-kan kepala. Itu sahaja. Tiada kena mengena dengan keluar lokap, bayar nazar atau yang lain-lain. Orang kita sangat gemar berfikir yang bukan-bukan. Terutama kepada orang yang berkepala botak. Walaubagaimanapun, terima kasih kawan-kawan kerana cakna. Dan di bawah adalah gambar aku selepas membotak-kan kepala.
